Suraya Roslan


Shah Alam: Syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd dan tiga pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan bersubahat melukakan perasaan agama orang Islam berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd.

Bagaimanapun, tiga beranak itu, Soh Chin Huat, 61, isterinya, Goh Li Huay, 62, dan anak mereka, Soh Hui San, 36, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Pendakwaan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 298 KK yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan, Xin Jian Chang Sdn Bhd disaman rangkaian kedai serbaneka itu kerana didakwa mensabotaj perniagaan KK Supermart dengan membekalkan stoking tertera kalimah Allah.

SUASANA di perkarangan lobi Mahkamah Shah Alam susulan pertuduhan kes isu penjualan stoking tertera kalimah Allah. FOTO Asyraf Hamzah
SUASANA di perkarangan lobi Mahkamah Shah Alam susulan pertuduhan kes isu penjualan stoking tertera kalimah Allah. FOTO Asyraf Hamzah

Peguam David Gurupatham mengesahkan saman itu sudah difailkan dengan XJC dan pemiliknya, Soh Chin Huat dinamakan sebagai defendan.

Menurut pernyataan tuntutan saman itu, KK Mart berkata: "Defendan menyebabkan sabotaj terhadap perniagaannya yang sah."

KK Mart berkata, pihaknya meminta XJC membekalkan penutup lengan secara konsainan dan tiada kebenaran atau persetujuan mengenai paparan atau penjualan sebarang jenis stoking.

KK Mart menyaman vendor, Xin Jian Chang Sdn Bhd (XJC) kerana didakwa mensabotaj perniagaan rangkaian kedai serbaneka itu dengan membekalkan stoking tertera kalimah Allah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 12:18 PM