GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan akan membuat pertuduhan ke atas pengarah Syarikat KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd serta Syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd esok.

Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam ke atas pengarah-pengarah Syarikat KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang Islam dengan cara mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran bagi tujuan jualan.

Pada masa yang sama, Syarikat Xin Jian Chanv Sdn Bhd akan dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat sebagai pembekal stoking bercetak kalimah Allah kepada Syarikat KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka.

Seri Paduka Baginda bertitah, bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah 'Allah' dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Dalam pada itu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah 'Allah', di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya pengguna tidak memboikot perniagaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 10:53 PM