SISA sampah dibuang dari tingkat atas melalui pengelongsor sampah di Blok 5, Flat Jubli Perak, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi. FOTO Rohanis Shukri
SISA sampah dibuang dari tingkat atas melalui pengelongsor sampah di Blok 5, Flat Jubli Perak, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi. FOTO Rohanis Shukri
Redzuan Muharam

Kajang: Ketiadaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) menyebabkan pengurusan sampah di Flat Jubli Perak, Bandar Baru Bangi tidak terkawal meskipun kutipan berkala dibuat kontraktor pembersihan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 17, Farhan Haziq Mohamed berkata, keadaan itu yang menyebabkan penduduk aras bawah terkesan teruk akibat sistem pembuangan sampah secara pengelongsor dari tingkat atas.

Katanya, beliau sudah mengadakan tinjauan di kawasan perumahan berkenaan pada 2 Mac lalu, diikuti lawatan susulan bersama wakil KDEBWM, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPKj serta pejabat Parlimen Bangi.

"Untuk makluman, refuse chute atau pengelongsor sampah sepatutnya tiada di semua perumahan di bawah MPKj namun kewujudannya di flat ini menimbulkan masalah kerana saluran yang tidak dibersihkan, sampah tersekat dan mengeluarkan bau selain menggalakkan haiwan perosak.

"Namun untuk menutupnya tidak mudah kerana penduduk sudah terbiasa dengan cara sebegitu. Hanya peranan jawatankuasa perbadanan sahaja boleh bincang, tutup atas persetujuan penduduk," katanya.

Tambah Farhan Haziq, MPKj juga perlu mengenal pasti lokasi alternatif untuk dijadikan tempat pembuangan sampah, sekiranya saluran berkenaan ditutup selain, perlu ada akses mudah untuk pekerja KDEBWM mengutip sampah.

Menurutnya, beliau sudah meminta pihak KDEBWM mengenal pasti blok yang sukar diakses dan berharap perkara itu dapat direalisasikan kelak dengan kerjasama pejabat Parlimen Bangi.

Dalam pada itu, Farhan Haziq cadang penduduk bergotong-royong bersihkan kawasan pengelongsor sampah supaya kebersihan dapat ditingkatkan.

Semalam, penduduk aras bawah Flat Jubli Perak, Bandar Baru Bangi meluahkan rasa kurang senang yang sudah lama ditanggung berikutan kekotoran tempat buang sampah secara pengelongsor sampah.

Sejak lebih tiga dekad menghadap masalah itu, penduduk menyifatkan mereka seperti mangsa keadaan apabila ruangan itu tidak diselenggara baik selepas penduduk aras atas membuang sampah menerusi refuse chute.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 7:01 AM