Syafil Syazwan Jefri


"Lelaki itu tidak jahat, tapi ada kesilapan kita sebagai manusia yang kita bukan sengaja." Demikian kata pelakon, Sophia Albarakbah mengenai 'lelaki' yang menjadi tunjang utama dalam jalan cerita drama berjudul Lelaki Itu lakonannya.

Mengangkat kisah kekeluargaan, Sophia berkongsi mengenai watak Sharifah Bahiyah yang dilakonkannya yang mana menjadi penenang dalam keluarga yang penuh konflik.

"Watak saya sebagai Sharifah Bahiyah, anak kedua daripada tiga beradik. Dia ada sikap tersendiri, yang paling bertanggungjawab dan penenang dalam keluarga.

"Dia tak suka pergaduhan dan akan menenangkan semua pihak kalau ada pertelingkahan. Dia ada cara tersendiri untuk menyelesaikan masalah.

"Pada masa sama, dia terperangkap antara nak lakukan benda yang sama dan kasihankan adik dia lakonan Hannah Delisha.

"Saya tak pernah melakonkan watak begini, tapi saya boleh kaitkan dengan diri sendiri sebab saya adalah anak kedua. Dalam keluarga pun, saya penenang," katanya.

Ditanya mengenai keserasian antara pelakon yang menjadi adik-beradiknya iaitu Nadia Brian dan Hannah Delisha, Sophia berkata, ia tidak sukar memandangkan mereka sudah lama bersahabat.

"Watak ini ada sikap tegasnya, tapi saya dalam dunia sebenar tidak tegas sangat. Tapi, saya cuba wujudkan karakter itu andai kata itu adalah saya. Ditambah pula, semua pelakon pun memberi dalam lakonan mereka, sekali gus memudahkan proses lakonan itu.

"Walaupun berlakon sebagai adik-beradik, kami sayang satu sama lain sebab kami dah kenal lama. Jadi, tak susah untuk kami tukarkan persahabatan kami kepada kasih sayang antara adik-beradik," katanya.

Berkesempatan berlakon bersama pelakon yang memegang watak sebagai ibunya iaitu Che Puan Sarimah Ibrahim, Sophia berkata, ia satu peluang keemasan buatnya.

"Berlakon dengan Che Puan Sarimah menyeronokkan. Dengan Nadia dan Hannah, saya dah kenal lama. Dengan Che Puan, ini kali pertama saya berlakon bersama. Watak saya pula rapat dengan ibunya lakonan Che Puan.

"Jadi, banyak babak dengannya. Dia sangat lucu. Tak susah untuk dapatkan keserasian itu. Bila kami nak lakonkan babak beremosi, kami akan bantu sama lain dan dua-dua akan menangis.

SOPHIA sibukkan diri dengan kerjaya.
SOPHIA sibukkan diri dengan kerjaya.

"Dengan Datuk Adi Putra, ini kali kedua saya berlakon bersamanya. Jadi, tak ada masalah sebab dah kenal dan biasa. Dengan Kak Faz (Fazura), tak ada babak bersama. Tapi, kami selalu berkumpul bersama dan berborak-borak," katanya.

Berbalik kepada isu sosial yang diangkat dalam drama karya Erma Fatima yang diarahkan Along Kamaluddin dan Nur Sharif ini, Sophia melihat beberapa mesej yang boleh dijadikan iktibar buat penonton.

"Drama ini ada banyak mesej. Pertama, isu kesihatan mental. Kedua, tanggungjawab. Lagi-lagi, paling ditekankan adalah tanggungjawab lelaki sebagai suami dan ayah, tanggungjawab isteri dan tanggungjawab anak-anak.

"Ia banyak menekankan mengenai kesihatan mental sebab semua watak, ada cabaran masing-masing. Semua melalui cabaran secara mental.

"Akhirnya, watak Bahiyah ini umpama kena jadi 'ibu' kepada semua orang sebab dia yang perlu selesaikan semua.

"Ada menyentuh isu agama juga sebab watak ini tidak dibesarkan dalam cara hidup Islam. Mereka dilahirkan di luar negara, jadi cara hidup mereka lebih kepada cara barat," katanya.

Walaupun ada beberapa isu yang mungkin tabu dalam masyarakat diangkat dan dipertontonkan dalam bentuk naskhah drama, Sophia yakin penonton yang pernah berhadapan situasi begini boleh kaitkan dengan pengalaman mereka.

"Situasi ini mungkin orang yang melaluinya boleh kaitkan sebab ada sesetengah keluarga yang mungkin berdepan perkara ini. Mungkin lelaki yang menonton pun akan terdetik 'saya tak boleh buat itu atau ini kerana ini yang akan berlaku'," katanya.

Selain berkongsi mengenai drama yang kini ditayangkan di slot Samarinda TV3 itu, Sophia turut menjawab pertanyaan mengenai kehidupan peribadinya yang mana kini 100 peratus dicurahkan buat karier.

"Sejak tahun lalu, saya tak sempat berehat lagi. Saya baru selesai menjalani penggambaran filem Reeza arahan Ahmad Idham. Tahun lalu saya bekerja sepanjang tahun dan sempat berehat pada Ogos sahaja," katanya.

Menurut Sophia, dia umpama sudah 'berkahwin' dengan kariernya sebagai pelakon.

"Dengan menyibukkan diri, macam tahun ini pun saya dah beritahu diri saya, saya nak fokus 100 peratus kepada karier. Alhamdulillah, banyak juga tawaran yang saya terima. Saya suka bekerja.

"Bila kita bekerja, tak ada banyak masa rehat. Sehari dapat tidur selama empat jam sahaja. Tapi, apabila dapat hari cuti, badan perlu rehat pun, kita rasa seperti nak kena keluar kerja sebab dah jadi 'workaholic'.

"Saya tak sunyi sebab ada kucing, keluarga, kawan-kawan. Saya 'berkahwin' dengan karier saya," katanya.

Terbaharu, Sophia kini menjalani penggambaran drama Saga With Love musim kedua untuk tayangan di platform penstriman Viu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 6:00 AM