BANGUNAN  KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. FOTO Salhani Ibrahim
BANGUNAN KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. FOTO Salhani Ibrahim
Luqman Arif Abdul Karim


KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan 6.9 peratus kadar dividen untuk Simpanan Konvensional 2017, membabitkan jumlah agihan sebanyak RM44.15 bilion, hari ini.

Pemilik akaun Simpanan Syariah yang mula diperkenalkan pada 8 Ogos 2016 pula menerima dividen berkadar 6.4 peratus dengan agihan berjumlah RM3.98 bilion.

Pengkreditan Dividen 2017 akan dilaksanakan esok dan ahli boleh mendapat maklumat terkini melalui laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau aplikasi mudah alih i-Akaun. Pengerusi KWSP, Tan Samsudin Osman berkata, jumlah keseluruhan agihan dividen bagi 2017 itu adalah RM48.13 bilion, sekali gus mencatatkan peningkatan 29.8 peratus berbanding 2016.

“Kami amat sukacita dengan prestasi keseluruhan pada 2017, iaitu tahun penting bagi KWSP dalam menguruskan dua skim simpanan dan mengisytiharkan dua kadar dividen.

“Simpanan Syariah menunjukkan prestasi kukuh untuk pengisytiharan dividen pertama, sekali gus membuktikan ia mapan dan memberikan berita baik kepada ahli yang bertukar daripada Simpanan Konvensional.

“Bagi Simpanan Konvensional, kadar 6.9 peratus adalah kadar tertinggi pernah diumumkan sejak 1997,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pengagihan dividen bagi setiap akaun diperolehi daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak susut nilai bersih aset kewangan, kerugian tidak nyata disebabkan kadar pertukaran mata wang asing; harga instrumen derivatif; perbelanjaan pelaburan dan operasi; caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.

Simpanan Syariah hanya memperoleh pendapatan mengikut bahagiannya daripada aset syariah manakala pendapatan Simpanan Konvensional terbahagi kepada dua, iaitu aset syariah dan bukan syariah, masing-masing berkadar 38 peratus dan 62 peratus.

Samsudin berkata, pendapatan pelaburan kasar KWSP untuk 2017 adalah RM53.14 bilion, iaitu jumlah tertinggi sejak penubuhannya pada 1951, justeru RM4.6 bilion diperuntukan kepada Simpanan Syariah, manakala Simpanan Konvensional (RM48.54 bilion).

“Pulangan Simpanan Konvensional ditingkatkan oleh pendapatan diperolehi daripada pelaburan bukan syariah berikutan lonjakan prestasi saham perbankan sedunia, sementara Simpanan Shariah tidak dilaburkan dalam saham perbankan konvensional memandangkan ia tidak patuh syariah.

“Selain itu, susut nilai ekuiti daripada saham patuh syariah, terutama sektor minyak dan gas serta telekomunikasi menurunkan pendapatan portfolio syariah KWSP.

“Sememangnya akan wujud perbezaan pulangan Simpanan Syariah berbanding Simpanan Konvensional dalam jangka pendek, namun prestasi kedua-dua skim ini dijangka hampir sama dalam jangka panjang kerana mempunyai objektif serta strategi pelaburan sama,” katanya. Sebagai agensi pengurusan simpanan persaraan, Samsudin berkata, objektif KWSP adalah melindungi dan menambah nilai simpanan persaraan ahli yang boleh dinilai menerusi pengisytiharan dividen berbanding kadar inflasi Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, perbandingan penilaian bagi Simpanan Syariah dan Simpanan Konvensional bagi 2017, masing-masing adalah 2.61 peratus dan 3.11 peratus, iaitu melebihi kadar inflasi sebanyak 3.79 peratus.

“Sepanjang tiga tahun lalu, KWSP mengisytiharkan kadar dividen melebihi sasaran dua peratus dividen sebenar masing-masing sebanyak 3.51 peratus dan 3.67 peratus bagi purata bergerak tiga tahun,” katanya.

Menyentuh dividen 2017 sebanyak RM48.13 bilion, Samsudin berkata, jumlah yang perlu diagihkan untuk setiap satu peratus kadar dividen adalah RM7.02 bilion, selaras pertumbuhan tahunan baki simpanan ahli, iaitu 10.98 peratus sejak 1990.

Katanya, jumlah simpanan ahli setakat 31 Disember 2017 adalah RM768.51 bilion, membabitkan nilai RM67.76 bilion bagi Simpanan Syariah dan Simpanan Konvensional (RM700.75 bilion).

“Ini cabaran yang perlu dihadapi dalam menguruskan dana besar seperti KWSP dengan menjana pulangan pelaburan konsisten dan mapan untuk jangka panjang. Ia juga sebahagian matlamat mempelbagaikan pulangan menerusi pelaburan luar negara memandangkan peningkatan nilai aset global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 6:32 PM