KONSERT Choii Underground Music Tour Kedah 2.0 yang diadakan di Taman Jubli Emas. FOTO tular
KONSERT Choii Underground Music Tour Kedah 2.0 yang diadakan di Taman Jubli Emas. FOTO tular
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri tidak pernah memberi permit atau kelulusan untuk penganjuran konsert di Taman Jubli Emas, di sini, semalam, sehingga menjadi kontroversi apabila ia diadakan pada malam Nisfu Syaaban.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata, memang terdapat permohonan dikemukakan kepada kerajaan negeri namun dalam permohonan itu, langsung tidak dinyatakan mengenai cadangan konsert atau pertunjukan pentas seperti tular di media sosial hari ini.

"Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai perkara itu membabitkan konsert dikenali sebagai 'Choii Underground Music Tour Kedah 2.0' di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada malam 24 Februari.

"Penganjur memohon untuk mengadakan karnival jualan dan acara-acara yang dibenarkan mengikut garis panduan kerajaan negeri saja dan itulah yang diluluskan.

"Justeru penganjuran konsert adalah tanpa kebenaran mana-mana agensi kerajaan negeri dan ini adalah satu pelanggaran syarat yang sangat serius oleh pihak penganjur," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mansor berkata, kerajaan negeri akan memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan dan akan memutuskan tindakan susulan mengikut undang-undang selepas itu.

Katanya, mana-mana pihak yang melanggar syarat selepas diberikan kelulusan untuk menganjurkan sesuatu acara, akan disenarai hitamkan dalam apa jua program di negeri ini pada masa akan datang.

Hari ini tular video berdurasi 22 saat memaparkan aksi penonton melompat dan menari ketika persembahan konsert dianjurkan di Taman Jubli Emas.

Acara itu mendapat kritikan orang ramai apabila ia diadakan pada malam Nisfu Syaaban.

Sebelum ini pada 3 Oktober 2022, media melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan sebarang penganjuran aktiviti konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila dalam kalangan pengunjung, tidak dibenarkan di seluruh Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 11:14 PM