KITA mesti berusaha berbuat amal ibadah seoptimumnya demi keredaan Allah.
KITA mesti berusaha berbuat amal ibadah seoptimumnya demi keredaan Allah.
Mohd Rizal Azman Rifin

Apabila sebut saja Syaaban, yang terpampang di minda adalah malam Nisfu Syaaban yang jatuh pada hari ke-15. Kemudian, Syaaban juga lebih dihubungkaitkan dengan amalan berpuasa sunat kerana mahu mengikut sunah Rasulullah SAW.

Apa pun amal ibadah dan kebaikan pada bulan ini, ia memberikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah. Namun demikian, usah sesekali kita remehkan satu perkara yang sangat penting kita renungkan. Perkara yang dimaksudkan itu ialah berkenaan membina kehidupan bersosial yang harmoni tanpa sebarang unsur dengki dan sifat keji yang dimurkai Ilahi.

Jadi, persoalannya, apakah kaitannya dengan Syaaban ini? Ya ia adalah antara inti pati penting yang dibawa bulan berkat ini. Bersama kita hayati sedalam-dalamnya maksud sabda Nabi SAW berkenaan isu ini.

Rasulullah SAW memberitahu kita dengan sabdanya: "Allah memandang kepada semua makhluk ciptaan-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu Allah mengampunkan dosa semua makhluk-Nya melainkan dosa orang musyrik (yang menyekutukan Allah) dan dosa orang yang bermusuh." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban- Hadis sahih)

Jadi, jelas kepada kita isu perpaduan sesama manusia sangat diberi perhatian dalam sabda baginda itu. Malah, sepatutnya apa yang dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabdanya itu memberikan kita satu isyarat jelas bahawa persoalan ukhuwah dengan mengutuhkan gaya hidup yang saling berharmoni wajib diamalkan.

Dua golongan yang Allah tidak ampunkan semasa kehadiran malam penuh berkat Nisfu Syaaban perlulah kita jadikan pedoman. Dua golongan yang rugi iaitu golongan musyrik dan mereka yang bermusuh antara satu sama lain.

Dengan itu juga sewajarnya kita membawa diri untuk muhasabahkan sifat dan sikap bersosial kita dalam kehidupan bermasyarakat. Apakah selama ini kita pernah menyakiti orang lain? Apakah sifat keji lain yang dimurkai Allah telah kita lakukan sehingga menyebabkan ahli keluarga, sahabat, jiran tetangga atau sesiapa sahaja terguris hati disebabkan tutur kata dan perbuatan yang kita lakukan.

Lebih malang, seandainya seseorang itu kekal bermusuh, bermasam muka dan tidak bertegur sapa kerana semua sifat itu tergolong dalam kategori bermusuh dengan insan lain. Lihat fenomena sosial masa kini yang jelas menunjukkan bahawa perbuatan mengumpat keji, bertutur kata dengan ungkapan kesat yang menghina orang lain seolah-olah ia bukan lagi sifat terlarang dalam agama.

Segala sifat dan watak yang keji seakan-akan tidak lagi dipandang sebagai satu perbuatan berdosa dan ia dibuat sewenang-wenangnya tanpa pertimbangan. Sedangkan kesemua sifat buruk itu sudahpun 'diwartakan' oleh Junjungan Mulia Nabi SAW sebagai sifat yang perlu dijauhi.

Peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan media sosial merancakkan lagi perbuatan dilarang. Gosip dan luahan kata yang diluncur dengan lajunya tanpa ditapis baik buruk membuatkan situasi sesama manusia makin berkecamuk.

Malam Nisfu Syaaban juga malam 'Buku Laporan Tahunan' peribadi kita akan diangkat dan dipersembahkan kepada Allah. Mahukah kita, tergamakkah kita, apabila buku catatan amalan kita itu dipersembahkan kepada Allah penuh dengan catatan buruk, sarat amalan berdosa yang dimurkai Allah? Pastinya kita mahukan buku laporan tahunan peribadi dipenuhi dengan catatan berisikan amalan berpahala.

Ingatlah Allah memberitahu kita bahawa setiap perkara baik mahupun yang buruk lagi keji kita lakukan semasa hidup di atas dunia ini akan diberikan balasan. Lihat, baca dan hayatilah Firman Allah dalam Surah al-Muzzamil ayat 20 yang bermaksud: "Dan (ingatlah), apa-apa juga kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan amat besar pahalanya."

Ayat Allah ini sewajarnya menjadi penyedar kepada kita supaya sentiasa memperagakan diri dengan watak Muslim yang teguh dengan ajaran Islam bersendikan adab dan akhlak terpuji. Tentunya mereka yang benar-benar mengambil iktibar daripada kalam Allah itu tidak akan membenarkan dirinya terjerumus dengan komunikasi sosial keji sehingga mencetuskan perselisihan dan perbalahan.

Sebaliknya, berpegang kepada ayat Allah inilah membuatkan seseorang itu semakin berhasrat tinggi untuk hidup berharmoni dengan sifat kasih sayang sesama manusia. Perhatikanlah peringatan daripada Allah ini: "Mereka ditimpakan kehinaan (daripada segala jurusan) di mana sahaja mereka berada kecuali dengan adanya sebab daripada Allah (hubungan dengan Allah) dan adanya sebab daripada manusia (hubungan sesama manusia)..." (Surah Ali Imran ayat 112)

Berdasarkan ayat Allah ini tentunya menjelaskan kepada kita kejayaan hidup di dunia, lebih-lebih lagi untuk kesejahteraan di akhirat bergantung kepada keutuhan amal ibadah terhadap Allah serta amal kebaikan sesama manusia. Kedua-dua hubungan itu semestinya sentiasa dimantapkan apabila menjalani kehidupan dunia.

Jadi, bersempena hadir Syaaban dan Malam Nisfu Syaaban yang penuh dengan keberkatan, menjadikan kita sentiasa berusaha berbuat amal ibadah seoptimumnya serta menjalani kehidupan bersosial di atas landasan akhlak sosial yang digariskan Islam.

Usah disia-siakan 'tawaran pengampunan' yang dijanjikan Allah sempena malam Nisfu Syaaban. Untuk mencapai hasrat luhur itu kita tidak cukup sekadar kuat beribadah, khusyuk di atas sejadah semata-mata kerana aspek hasanah sosial perlu diutamakan juga. Ini kerana prasyarat pengampunan Allah sempena malam Nisfu Syaaban perlu kita penuhi terlebih dahulu.

Jika sebelum ini ada orang lain yang kita bermusuh, ada insan lain yang kita lakukan khianat dan perbuatan keji lain sehingga hubungan persaudaraan retak menanti belah maka kita perlu bersegera mewujudkan situasi harmoni sosial yang terpuji.

Dengan kata lain, biarlah Syaaban menjadi bulan penyambung ikatan ukhuwah dengan harapan kita dikurnikan pengampunan Allah. Insya- Allah.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 5:59 AM