FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta di tempat letak kenderaan Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras, di sini, semalam.

Difahamkan, bayi itu sudah ditinggalkan di dalam kereta selama 10 jam sejak keluar rumah bersama ibunya yang juga doktor pada 7.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian dilapor pada 5.53 petang selepas Pegawai Perubatan HCTM dimaklum mengenai mangsa.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada hari sama.

"Siasatan awal mendapati, pada 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan mangsa di tempat duduk penumpang belakang sebelah kiri kereta untuk dihantar ke taska.

"Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan bayi itu sudah dihantar ke taska," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zam berkata, ibu mangsa hanya menyedari mangsa masih berada di dalam keretanya pada petang hari sama selepas dimaklumkan oleh suaminya yang mangsa tidak dihantar ke taska.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 50 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 11:11 AM