BUNKFACE harap 2024 bawa lembaran baharu untuk peminat setia mereka dengan azam hiburkan peminat dengan momen indah.
BUNKFACE harap 2024 bawa lembaran baharu untuk peminat setia mereka dengan azam hiburkan peminat dengan momen indah.
Ridzuan Abdul Rahman

MENGHARAPKAN 2024 membawa kejayaan cemerlang kepada mereka.

Itulah impian Bunkface yang dianggotai Sam Baharom (penyanyi), Paan (gitar), Youk (bass) dan Biak (dram).

Agak terjejas dengan kesan pandemik Covid-19, Bunkface bangkit semula mencari rezeki dalam muzik pada 2022 antaranya menerusi Konsert Bunkface! 15 Years Of Korang yang berlangsung pada 30 dan 31 Julai 2022 di Zepp Kuala Lumpur.

"Tahun lalu kebangkitan semula Bunkface. Tak sangka tawaran acara datang begitu banyak. Kemudian kami berehat sekejap dan sekarang ia mula datang balik.

"Untuk tahun ini kami sedang susun jadual. Baru-baru ini kami ada persembahan kecil-kecilan di Rumah Tangsi manakala sambutan tahun baru kami ada persembahan di Bintulu, Sarawak," kata Sam.

Terbaru, Bunkface yang popular menerusi lagu Situasi ini digandingkan dengan Butterfingers dan Hujan dalam konsert 'Und3rground.

Konsert anjuran Hitman Solutions ini dijadualkan berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 2 Mac ini.

"Ini kali kedua kami beraksi di situ. Sebelum ini kami tampil menerusi MTV World Stage Live In Malaysia 2010. Sambutannya memang meriah dan padat dengan peminat.

"Harapnya untuk konsert ini pun penuh juga. Tempat itu agak unik dan auranya lain. Kami dapat rasakan satu persekitaran yang lain sebagai penghibur.

"Penonton yang datang juga peminat setia kami. Untuk Und3rground, persembahan kami sekitar 45 minit hingga sejam dan menyanyikan lapan atau sembilan lagu saja," katanya.

Mereka juga tidak kisah band mana yang diletakkan sebagai pembuka atau penutup tirai kerana ia bukan isu besar.

"Semuanya okey sahaja. Gabungan tiga band ini tampilkan sesuatu yang mantap kerana kami pun berasal dari genre atau rumah yang sama. Tapi yang penting, sasaran kami ialah yang datang itu kena 'have fun'.

"Seperti biasa, kami bagi satu persembahan yang energetik. Harap orang akan terhibur pada hari itu. Kami juga dah ada lagu baru berjudul Hilang yang bakal siap bulan depan.

"Kami akan menjalani penggambaran muzik video Hilang. Muziknya ada 'vibe' Situasi Kemungkinan untuk konsert itu akan dinyanyikan nanti," katanya.

Tahun lalu mereka beraksi dalam Bunkface Rock In Borneo yang berlangsung di KDCA, Kota Kinabalu, Sabah pada 19 Julai.

Kali ini mereka bercadang mengadakan konsert solo di Semenanjung Malaysia pula.

"Kalau boleh setiap tahun kami buat konsert sendiri. Tak kisahlah sama ada besar atau kecil. Sekurang-kurangnya Bunkface ada satu momen dengan peminat.

"Kami akan cuba. Insya-Allah akan ada satu yang kami terbitkan. Ia sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang kekal setia bersama kami.

"Kami harap peminat baru datang untuk rasa pengalaman nanti. Mereka akan dapat tahu Bunkface macam ini muziknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 6:00 AM