SAM berharap penganjuran konsert kali ini mampu mengembalikan nostalgia buat peminat.
SAM berharap penganjuran konsert kali ini mampu mengembalikan nostalgia buat peminat.
Affan Rostam


'SELAMANYA darah muda'.

Demikian antara petikan lirik lagu Darah Muda nyanyian Bunkface sekitar 2015.

Jika dilihat, lirik itu seolah-olah menggambarkan Bunkface akan sentiasa kekal 'berdarah muda' walaupun usia band punk rock ini sudah menjangkau 15 tahun.

Keutuhan dan kebersamaan kumpulan yang berasal dari Klang ini membuktikan bahawa kewujudan mereka selama 15 tahun nyata memberi impak yang mendalam dalam arena muzik tempatan di samping mempunyai ramai pengikut setia sehingga kini.

Sebagai tanda penghargaan buat semua yang menyokong, Bunkface akan hadir mempersembahkan karya mereka dalam sebuah konsert istimewa yang diberi nama Bunkface! 15 Years of Korang dengan kerjasama penganjur acara tempatan iaitu Hitman Solutions.

Penyanyinya, Sam berkata, di samping keterujaan mereka untuk menjayakan konsert kali ini, persediaan rapi juga perlu dibuat memandangkan mereka sudah lama tidak beraksi di konsert berskala besar.

"Disebabkan kami dah lama tak buat konsert besar-besaran macam ini dan kali terakhir pada 2016 ditambah pula dua tahun berehat sebab pandemik, jadi saya agak takut bila tiba-tiba jatuh atau semput ketika buat persembahan atas pentas," katanya.

BUNKFACE bakal mempersembahkan karya mereka selama 15 tahun di Konsert Bunkface 15 Years of Korang.
BUNKFACE bakal mempersembahkan karya mereka selama 15 tahun di Konsert Bunkface 15 Years of Korang.

Menurutnya, konsert yang bakal berlangsung dua hari itu mempunyai kejutan dan keistimewaan tersendiri selain menyatakan rasa syukur dengan sambutan menggalakkan daripada peminat.

"Konsert kali ini akan berlangsung dua hari dan pada setiap hari kami akan nyanyikan 25 lagu. Jadi, keseluruhannya 50 lagu yang kami kena nyanyi. Banyak kejutan termasuk orang penting di belakang Bunkface sejak kami bermula akan datang sekali pada malam itu.

"Ramai orang yang bekerjasama untuk menjayakan konsert ini. Ia akan jadi sangat istimewa sebab saya rindu nak buat persembahan lagi-lagi bila tiket dah habis terjual," katanya.

Selain itu, Sam bersama tiga lagi anggota Bunkface iaitu Youk, Pa'an dan Biak masing-masing mula bersenam dan menjaga kesihatan untuk memastikan keadaan mereka berada pada tahap terbaik menjelang hari konsert.

Menurut Sam, mereka tidak boleh menyajikan persembahan dengan 'ala kadar' saja disebabkan peminat sudah mengeluarkan wang untuk membeli tiket.

"Sebagai persediaan untuk dapatkan stamina memang kami ada jogging, kami rancang nak main badminton semula dan kena banyak ambil makanan yang sihat.

BUNKFACE tidak mahu berikan persembahan ‘ala kadar’ sahaja.
BUNKFACE tidak mahu berikan persembahan ‘ala kadar’ sahaja.

"Kalau masa muda-muda kami akan anggap yang jaga makan itu 'poyo', tapi sekarang bila dah tua baru tahu ia penting.

"Stamina itu sangat penting sebab banyak lagu nak dinyanyikan dan kami bukan nak nyanyi biasa-biasa saja sebab peminat bayar tiket untuk datang ke konsert ini. Jadi, kami ambil perkara itu dengan serius sebab duit orang tak boleh nak buat main. Kami akan buat yang terbaik," katanya.

Sam berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menjadi saat getir buat mereka apabila karier seni mereka terbantut sehingga ada antara rakan-rakan yang mencadangkan supaya mereka menutup studio rakaman.

"Sebenarnya masa PKP, kawan-kawan risaukan Bunkface. Jadi, mereka pun minta kami cuba buat perkara lain dulu.

"Disebabkan itu ada kawan kami yang cakap, kalau masih tak bergerak kemungkinan band ini boleh 'bungkus' dan studio pula akan ditutup. Tapi, saya fikir perkara itu tak mungkin sebab tak ada apa dah saya boleh buat selain muzik," katanya.

Biarpun dilanda pelbagai situasi mencabar, Sam tetap percaya dengan rezeki dan ketentuan yang ditetapkan Allah terhadap kumpulan mereka itu.

"Saya tahu Allah takkan tinggalkan kami terkontang-kanting untuk buat apa yang kita tak boleh. Dia pasti akan bantu dan menjaga kami.

"Bila kami berbincang semula, tiba-tiba dah ada kat sini. Kemudian, kami jumpa pula Hitman Solutions dan mereka sanggup bekerjasama dengan Bunkface.

"Jadi, ia sudah diaturkan sebaik mungkin dan kami semua dah bersedia sekarang ini. Kami janjikan persembahan yang sangat seronok insya-Allah," katanya.

Sam berharap penganjuran konsert ini mampu mengembalikan nostalgia buat peminat selain menganggap sambutan positif yang diterima pada kali ini adalah hikmah di sebalik ujian yang pernah dihadapi.

"Saya berasakan konsert kali ini mampu memberi semula 'vibe' atau mengimbau kenangan pendengar yang mengikuti Bunkface sejak dari awal. Mungkin dengan tiket yang habis terjual ini adalah hikmah dua tahun kami berehat sebab PKP," katanya.

Konsert Bunkface 15 Years of Korang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 dan 31 Julai ini. Tiket untuk hari pertama habis dijual manakala tiket hari kedua masih boleh didapati di www.hitmanlive.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 7:00 AM