KEDIAMAN Ngeh terbakar akibat dibaling dengan ‘molotov cocktail’. FOTO NSTP
KEDIAMAN Ngeh terbakar akibat dibaling dengan ‘molotov cocktail’. FOTO NSTP
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Polis mengesahkan penemuan botol disyaki mengandungi 'molotov cocktail' dipercayai punca kebakaran tiga kereta milik Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di kediamannya di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima panggilan daripada Ngeh Koo Ham berhubung kejadian itu 2.55 pagi tadi.

"Pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati, kebakaran itu mengakibatkan kereta Mercedes Benz musnah terbakar.

"Dua lagi kereta mengalami kesan kepanasan iaitu Honda CR-V dan Toyota Hilux. Turut ditemui di lokasi kebakaran adalah satu botol disyaki mengandungi molotov cocktail," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Yusri berkata, kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Beliau memberi jaminan kes itu akan disiasat secara terperinci dari pelbagai sudut dan usaha mengesan individu yang terbabit giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 10:55 AM