MR HeliBro mahu memberi galakan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira umur supaya ada keinginan dan minat meneroka dunia penerbangan, khususnya helikopter. FOTO BERNAMA
MR HeliBro mahu memberi galakan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira umur supaya ada keinginan dan minat meneroka dunia penerbangan, khususnya helikopter. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang juruterbang helikopter menarik perhatian warganet apabila aktif berkongsi video mengendalikan pesawat ringan itu di aplikasi TikTok.

Rata-rata warganet kagum melihat skil menerbangkan helikopter Robinson R44 Clipper I itu serta teruja mengetahui cara penerbangannya, tambahan pula dia tidak lokek berkongsi ilmu penerbangan dan kerap menjawab soalan warganet di ruangan komen.

Ketika ditemui Bernama baru-baru ini, juruterbang itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mr HeliBro, 50, berkata, dia berkongsi video itu bertujuan mahu memberi galakan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira umur supaya ada keinginan dan minat meneroka dunia penerbangan, khususnya helikopter.

"Dulu orang selalu cakap untuk terbangkan helikopter susah, tapi sebenarnya tidak sesukar difikirkan. Jadi, video di TikTok itu saya mengajar dan menyampaikan informasi kepada pengikut seperti cara pendaratan, penerbangan, cuaca dan aspek teknikal serta penjagaan helikopter, walaupun ia (mengajar) tidak rasmi, tapi perkara itu mudah sekiranya ada minat dan usaha.

"Secara tidak langsung saya beri inspirasi kepada generasi muda di luar sana agar bersemangat dan bercita-cita tinggi dan tidak mustahil jika mereka usaha bersungguh-sungguh pasti berjaya menjadi juruterbang helikopter hebat," katanya.

MR HeliBro berkecimpung lebih 20 tahun dalam dunia penerbangan. FOTO BERNAMA
MR HeliBro berkecimpung lebih 20 tahun dalam dunia penerbangan. FOTO BERNAMA

Berkecimpung lebih 20 tahun dalam dunia penerbangan, Mr HeliBro berkata, dia memutuskan bersara awal, namun kerana minat dia masih menjalankan perniagaan dalam bidang penerbangan bagi mengisi masa lapang.

Selain itu, dia turut memiliki pangkalan helikopter (heliport) dan kafe berdekatan susur keluar Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) menghala ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Ampang yang dijangka siap menjelang hujung bulan ini.

Heliport itu menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat lebih dekat helikopter dan sesiapa yang berminat bergambar dengan pesawat itu dibenarkan tanpa caj dengan pemantauan kru Mr HeliBro.

MR HeliBro turut menawarkan pengalaman kepada orang ramai menaiki helikopter dengan  khidmat cost sharing flights pada harga munasabah berbanding perkhidmatan komersial lain. FOTO BERNAMA
MR HeliBro turut menawarkan pengalaman kepada orang ramai menaiki helikopter dengan khidmat cost sharing flights pada harga munasabah berbanding perkhidmatan komersial lain. FOTO BERNAMA

Bapa tunggal itu turut memaklumkan pihaknya menawarkan pengalaman kepada orang ramai menaiki helikopter dengan menawarkan khidmat cost sharing flights pada harga munasabah berbanding perkhidmatan komersial lain.

"Cost sharing flights bermakna kos penerbangan itu mesti mendapat persetujuan bersama antara penumpang dengan juruterbang dan kos operasi mesti ditanggung bersama," katanya.

Mengimbau kembali perjalanan kariernya, Mr HeliBro berkata, dia amat meminati kapal terbang sejak kecil sekitar 1970-an ketika dibesarkan di Kem Mahkota, Kluang, Johor kerana mengikuti arwah bapanya yang merupakan seorang tentera darat.

"Kem itu menjadi lokasi latihan penerbangan tentera udara. Setiap hari, saya menyaksikan juruterbang berlatih dan menerbangkan pesawat. Saya kagum melihatnya. Dari situ saya bertekad suatu hari nanti saya juga boleh terbangkan pesawat," katanya.

PEMANDANGAN di sekitar heliport dan kafe milik Mr HeliBro yang terletak berdekatan susur keluar DUKE menghala ke MRR2. FOTO BERNAMA
PEMANDANGAN di sekitar heliport dan kafe milik Mr HeliBro yang terletak berdekatan susur keluar DUKE menghala ke MRR2. FOTO BERNAMA

Katanya, impian mendapatkan lesen penerbangan diteruskan semasa bekerja di Osaka, Jepun pada 1997 sebagai pereka mesin selepas menamatkan pengajian di Universiti Chiba.

"Setiap kali cuti, saya pasti mengunjungi Amerika Syarikat bagi menjalani latihan dan mempelajari ilmu berkaitan penerbangan. Sedikit demi sedikit, saya belajar sehingga mendapat lesen penerbangan pada 2000," katanya yang juga boleh menerbangkan pelbagai jenis pesawat lain termasuk jet pejuang L-39 Albatros, pesawat aerobatik selain aktif dalam sukan payung terjun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 7:05 AM