PENDUDUK Perumahan Awam Seri Perlis 2 menuai hasil tanaman ketika tinjauan Kebun Dalam Bandar. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PENDUDUK Perumahan Awam Seri Perlis 2 menuai hasil tanaman ketika tinjauan Kebun Dalam Bandar. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Di sebalik bangunan pencakar langit yang memenuhi ibu negara, terdapat beberapa lokasi yang diwarta sebagai kawasan hijau kekal untuk menyeimbangkan hutan batu.

Ia inisiatif kerajaan dalam memastikan Kuala Lumpur masih mempunyai kawasan hijau mencukupi dan dilindungi daripada pembangunan selain bergantung kepada Hutan Simpan Kekal (HSK).

Seiring misi itu, ada penduduk yang turut membantu menambah kawasan hijau di ibu negara menerusi kebun kejiranan bandar atas kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Antaranya, 40 penduduk Perumahan Awam Seri Perlis 2, Datuk Keramat yang kini mengusahakan lima plot kebun di atas sebidang tanah bersaiz 0.404 hektar di kejiranan mereka.

Kebun itu diusahakan sejak 2014 dan ditanam pelbagai jenis sayuran seperti sawi, kangkung, bendi, tomato, daun pandan, ulam raja, kailan, lobak, salad selain bunga telang yang dianggap ikon produk kawasan.

Bagaimanapun, bukan mudah mengusahakan kebun bandar dan masa menjadi cabaran utama kerana penduduk terikat dengan pekerjaan masing-masing serta mengurus aktiviti harian lain.

Timbalan Pengerusi Kebun Dalam Bandar Perumahan Awam Seri Perlis 2, Abdul Aziz Yahya, 63, berkata, walau terdapat kekangan, kebun itu dipastikan tidak terbengkalai kerana manfaatnya.

Katanya, selain memberi hasil tani dan pendapatan kepada penduduk, kebun itu yang diusahakan bersama-sama dapat membantu mengeratkan silaturahim antara mereka.

"Kadang-kadang walaupun rumah dekat, tetapi susah juga nak berjumpa sebab masing-masing bekerja. Kalau tidak ada program seperti ini, kurang sedikit pergaulan itu," katanya.

Selain itu, katanya, kebun itu juga membolehkan individu sepertinya 'bersenam' dengan cara bercucuk tanam

"Ketika awal kami mengusahakan kebun, kami tiada pengetahuan khusus... buat sendiri-sendiri sahaja. Apabila Jabatan Pertanian tengok, mereka tawar diri untuk beri kursus dan ia adalah percuma.

"Kursus ini adalah kursus asas seperti bagaimana nak merawat tanah, bagaimana nak menanam, selang-seling dalam penanaman dan sebagainya," katanya.

Mengenai kos pengurusan kebun, Abdul Aziz berkata, mereka hanya menggunakan wang daripada penjualan sayur-sayuran dan kadangkala mendapat bantuan daripada agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan.

Penduduk Perumahan Awam Seri Perlis 2, Mohd Nor Ahmad, 56, pula menyifatkan inisiatif kebun dalam bandar merupakan satu aktiviti yang baik.

"Mana-mana ada tanah terbiar, kosong, hutan, kita terangkan untuk dibuat kebun. Sekurang-kurangnya ia memberi satu aktiviti kepada penduduk yang sudah pencen macam saya," katanya.

Menurutnya, dengan penanaman sayur-sayuran juga, ia dapat menjana pendapatan selain penduduk juga boleh membelinya.

Dia juga berharap agar perumahan awam atau projek perumahan rakyat (PPR) agar mengusahakan tanah terbiar atau kosong di kawasan mereka untuk mengusahakan kebun seperti ini.

"Ia dapat menghijaukan persekitaran dalam bandar disebabkan di bandar ini sudah penuh dengan bangunan," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro lusa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 7:00 AM