JENAZAH dibawa menaiki lori ke kawasan perkuburan besar selepas dibebaskan rejim Zionis melalui penyelarasan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.
JENAZAH dibawa menaiki lori ke kawasan perkuburan besar selepas dibebaskan rejim Zionis melalui penyelarasan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Tenanglah di sana wahai syuhada Gaza

Kuala Lumpur: "Hanya orang buta hati sahaja masih gagal melihat bukti kekejaman Israel. Bukan hanya manusia hidup dizalimi, malah beratus mayat mangsa yang mati sejak lebih lapan hari lalu turut menjadi tawanan rejim Zionis," ujar Ketua Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Pendidikan di Gaza, Abu Ayesh.

Ini dibuktikan apabila 111 mayat warga Palestin di dalam Hospital Al-Shifa dan Hospital Beit Hanoun tidak dapat dikebumi selepas kompleks kesihatan itu dikepung kereta kebal dan rejim Zionis sejak 12 November lalu.

"Semua mayat mangsa letupan bom, pesakit, kanak-kanak dan bayi yang mati dalam hospital terpaksa disimpan lama berikutan tindakan rejim menghalang serta menembak mati sesiapa sahaja yang dilihat keluar masuk dari kompleks kesihatan itu.

"Namun mayat semua mangsa terbabit akhirnya berjaya dibawa keluar semalam (kelmarin) sebelum dikebumi serentak dalam kubur besar di Al-Nasmawi, Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza," katanya.

Menurutnya, jentera jentolak terpaksa digunakan untuk mengorek kubur besar sebelum semua jenazah mangsa lelaki, wanita dan kanak-kanak disemadikan.

"Selain mayat mangsa dikeluarkan dari Hospital Al-Shifa, ada mayat dibawa keluar dari Hospital Beit Hanoun di utara Semenanjung Gaza. Mayat malang terbabit turut ditawan tentera rejim Zionis sebelum ini.

"Rata-rata mangsa pelarian yang mencari perlindungan di hospital, pesakit yang gagal mendapat rawatan sempurna, mangsa pengeboman, termasuk bayi yang terkorban akibat sistem kesihatan yang lumpuh di dua hospital berkenaan," katanya.

Difahamkan semua mayat syuhada itu dibawa menaiki lori ke kawasan perkuburan besar selepas dibebaskan rejim Zionis melalui penyelarasan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

"Ada antara mayat dikebumikan tidak diketahui identiti selain ada mayat tidak memiliki anggota tubuh lengkap kesan kecederaan parah letupan bom digugur pesawat rejim Zionis sebelum ini," katanya.

Menurutnya, kebimbangan turut dirasai terhadap nasib pesakit di dalam Hospital Indonesia di Beit Hanoun di utara Semenanjung Gaza yang dikepung rejim.

"Bilangan pesakit bakal menemui ajal di dalamnya akan meningkat susulan tekanan rejim yang menyekat bekalan air, makanan dan bahan api," katanya,

Pada Selasa lalu, 200 pesakit dipindahkan dari hospital Indonesia di Jabalia dan dibawa menaiki bas ke Hospital Nasser di bandar selatan Khan Younis.

Tindakan dilakukan susulan serangan rejim Zionis kini ditujukan ke arah hospital di Semenanjung Gaza yang didakwa kononnya menjadi markas pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam.

"Namun semua itualasan untuk 'menghalalkan' kekejaman dan misi genosid bagi membunuh seramai mungkin rakyat Palestin di Gaza," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kenyataan rejim, tawanan perang rakyat Palestin akan dibebaskan dalam tempoh terdekat sebagai sebahagian perjanjian gencatan senjata empat hari di Gaza.

"Seramai 150 wanita dan kanak-kanak Palestin ditahan di penjara Israel akan dibebaskan sebagai sebahagian perjanjian pertukaran dengan 50 tawanan Israel ditahan di Gaza.

"Namun agak menyedihkan apabila Israel seolah-olah mempergiat operasi ketenteraan ke Gaza ketika perbincangan gencatan senjata sedang giat dilakukan.

"Ini terbukti apabila pesawat rejim Zionis masih menjatuhkan bom di seluruh Gaza terutama di kawasan penempatan di selatan Khan Younis sepanjang malam tadi (kelmarin) hingga awal pagi semalam," katanya.

Menurutnya, lebih 14,532 penduduk Gaza terbunuh semalam iaitu meningkat berbanding 14, 128 mangsa pada Selasa lalu.

"Ini belum mengambil kira 7,000 mangsa yang gagal ditemui dengan kebanyakannya tertimbus di bawah bangunan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) -Palestin berterima kasih atas keprihatinan dan doa berterusan rakyat Malaysia terhadap penduduk Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 7:05 AM