BARISAN pelakon serta pengarah Adamas.
BARISAN pelakon serta pengarah Adamas.
Georgie Joseph


SEBUAH lagi drama Korea wajib tonton dan semakin hangat diperkatakan sekarang adalah Adamas. Diarahkan Park Seung-woo, drama terbabit cukup unik dan tidak klise.

Membariskan pelakon hebat diterajui Ji Sung, Seo Ji-hye, Lee Soo-kyung, Heo Sung-tae dan ramai lagi, istimewanya drama terbabit menampilkan pertembungan pelbagai genre dalamnya.

Menurut Park, dia memang pecah otak juga untuk menamakan apa genre tepat menggambarkan naskhah itu. Apa pun, dia mengakui pertembungan genre terbabit sebenarnya menjadi kelebihan Adamas.

"Di permukaan, ia seperti drama penyiasatan. Tetapi, genre itu tidak cukup tepat untuk menggambarkan intipati yang sebenar-benarnya. Saya berdepan kesulitan menakrifkan genre tepat pada awalnya.

"Ini kerana projek ini sangat sukar untuk digambarkan dalam kata-kata. Pada beberapa bahagian, ia mengandungi thriller misteri, pada bahagian lain pula sarat dengan aksi penuh adrenalina," katanya.

Pemilihan Ji Sung sebagai teraju utama juga satu percaturan tepat. Dia diberi tugasan memainkan watak kembar Woo-shin dan Soo-hyun, sekali gus menambah cabaran tertentu buatnya.

Bukan tidak pernah, sebelum ini pun pelakon itu terbabit menjayakan naskhah yang perlukan dia pegang tujuh karakter berbeza. Pastinya pengalaman itu lebih memudahkan dia.

Tapi, tidak kerana Ji Sung akui pengalaman menjayakan Adamas jelas jauh berbeza dengan wataknya sebelum ini. Bahkan, dia langsung tidak menggunakan pengalamannya lakonkan watak tujuh personaliti berbeza dulu.

"Ini pengalaman yang sangat baharu. Sebelum ini saya lakonkan watak yang memiliki kecelaruan pelbagai personaliti, jadi saya tunjukkannya sebagai individu berbeza.

JI Sung akui bukan mudah lakonkan watak kembar.
JI Sung akui bukan mudah lakonkan watak kembar.

"Bagaimanapun, untuk Adamas saya perlu tunjukkan keunikan yang ada pada pasangan kembar. Mereka memiliki persamaan tertentu, tapi berbeza pada beberapa aspek lain," katanya.

Ji Sung akui bukan mudah kerana dia sendiri sehingga terbawa-bawa karakter pasangan kembar wataknya itu. Baginya, perjalanan hidup watak terbabit begitu menarik.

"Saya mendapati diri saya sangat mendalami dunia kembar itu. Saya dapat berasakan setiap keindahan yang ada dalam karakter mereka apabila semakin mengenal corak hidupnya.

"Adamas sendiri yang berupa panah berlian adalah jantung kepada siri ini. Banyak elemen mengagumkan dapat ditonton selain perjalanan hidup kembar terbabit," katanya.

Adamas berkisar kehidupan pasangan kembar Woo-shin dan Soo-hyun bertukar tragedi selepas bapa tiri kesayangan mereka dibunuh sekitar 20 tahun lalu. Ia benar-benar merobek hati mereka.

Luka lama kembali berdarah dan tercetus konspirasi selepas mendapat tahu bapa kandung mereka dituduh dalang pembunuhan terbabit. Sekali gus, memaksa mereka bergabung mencari kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 6:05 AM