Foto hiasan
Foto hiasan
Suhanna Iskandar dan Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Lumpur: Orang ramai menyifatkan pembuli di sekolah masih perlu diberi peluang kedua dan tidak wajar dikenakan hukuman berat.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) di sekolah berasrama penuh, Muhammad Hilmi Jaafar, 50, berkata, hukuman yang dikenakan pada pembuli bawah umur tidak boleh dilihat sebagai jenayah berat.

"Mereka masih di bawah umur dan wajar untuk sekolah membela kedua-dua pihak iaitu pembuli dan mangsa.

"Sama ada sebagai pembuli atau mangsa, mereka masih bersekolah dan dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak, sehubungan itu, hukuman dikenakan tidak seberat hukuman kepada pesalah dewasa kerana memerlukan pendekatan berbeza.

"Walaupun mangsa buli mungkin mengalami trauma yang mendalam, masih perlu diberikan peluang kedua kepada pembuli kerana mereka masih mentah serta memerlukan pendidikan dan bimbingan," katanya.

Menurutnya, pihak sekolah hanya boleh menggantung sementara pembuli yang terbabit semasa siasatan dan mangsa pula diberi sokongan dan perlindungan.

"Selepas siasatan selesai, pembuli boleh kembali ke sekolah seperti biasa dan proses pemulihan membabitkan guru kaunseling, bimbingan, dan pemantauan sepenuh masa akan dijalankan kerana masih ada harapan untuk pembaikan.

"Sekolah berasrama juga perlu mengambil langkah-langkah khusus dalam menguruskan kes buli ini termasuk pemantauan berterusan oleh pihak sekolah, program pendidikan dan pembabitan ibu bapa," katanya.

Guru, Hanif Omar Baki, 27, pula berkata, fikiran pembuli masih lagi tidak matang dan patut diberi peluang kepada mereka.

"Undang-undang di Malaysia melihat kepada setiap faktor dan berusaha memberi manfaat kepada mangsa dan pengajaran kepada pembuli.

"Langkah seperti memasukkan pembuli ke sekolah juvana dan memberi motivasi kepada mangsa perlu dilaksanakan.

"Kes buli di sekolah berasrama menjadi isu serius yang memerlukan tindakan yang teliti dan berterusan serta perlindungan terhadap mangsa patut diutamakan," katanya.

Sementara itu, pelajar universiti yang hanya mahu dikenali sebagai Nadilla Akmar, 23, berkata, pembuli boleh diberikan peluang kedua tetapi dengan cara betul serta memerlukan tempoh masa panjang demi kebaikan mangsa.

Dia yang mengakui turut menjadi mangsa buli di sekolah berkata, pembuli sepatutnya digantung selama setahun untuk memberikan ruang pada mangsa pulih dan selepas itu dihantar ke kelas pemulihan akhlak dan bukannya kembali ke sekolah sama.

"Jika sekolah hanya memberikan hukuman kecil, mereka akan anggap ini adalah perkara kecil dan akan meneruskan lagi perbuatan mereka.

"Kita boleh melihat banyak kes buli berlaku tapi bukan dari 'mulut' sekolah itu sendiri yang mana sekolah sepatutnya menjadi ruang selamat untuk menuntut ilmu," katanya.

Eksekutif akaun, Nur Faizah Mohd Adnan, 28, pula berpandangan tindakan berat patut diambil terhadap pembuli kerana meninggalkan trauma kepada mangsa.

"Alasan masih muda tidak boleh digunakan kerana ia seolah-olah membenarkan sesuatu yang salah.

"Sekolah sepatutnya memberikan contoh terbaik dengan mengambil tindakan sewajarnya, bukan mendiamkan diri dengan alasan 'menjaga nama baik sekolah'.

"Semoga generasi muda mengambil iktibar dengan kejadian buli sebelum ini," katanya.

Pegawai bank yang mahu dikenali sebagai, Azie, berkata, peluang kedua kepada pembuli di sekolah bergantung kepada tahap buli yang dilakukan.

"Ada kes buli yang menyebabkan kematian atau kecacatan itu tidak wajar.

"Sekolah juga patut mengetatkan undang-undang demi keselamatan pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 4:15 PM