Seorang pemuda memakai pelitup muka dan berpayung ketika lalu di kawasan Pusat Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya yang diselubungi jerebu disertai hujan renyai. FOTO BERNAMA
Seorang pemuda memakai pelitup muka dan berpayung ketika lalu di kawasan Pusat Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya yang diselubungi jerebu disertai hujan renyai. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan.

Menerusi kenyataan media hari ini berhubung situasi semasa jerebu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan daripada melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.

Menurutnya, sebarang aktiviti fizikal demikian akan meningkatkan kadar pernafasan menyebabkan lebih banyak partikulat terampai memasuki saluran pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

"Sentiasa berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar (outdoor), hadkan masa dan gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai.

"Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

"Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga, sekurang kurangnya lapan gelas sehari. Ini adalah bagi mengekalkan tahap hidrasi badan," katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya, selain itu tambahbaik pengudaraan dalam seperti dengan memasang alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.

Katanya, sekiranya tidak sihat segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.

"Orang ramai boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang KKM https://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/51-jerebu.

"Orang ramai juga digesa supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis dimasuki atau diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran

terbuka.

"KKM akan terus memantau penyakit berkaitan jerebu di klinik sentinel dari semasa ke semasa," katanya.

Berkaitan situasi semasa jerebu, katanya, KKM merujuk kepada bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 68 Stesen Pengawasan Kualiti Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 1 petang hari ini, 2 Oktober 2023.

"Ia menunjukkan 14 stesen mencatat bacaan IPU tidak sihat dengan bacaan IPU 101 hingga 200 membabitkan lima kawasan di Selangor (Petaling Jaya, Klang, Shah Alam, Banting, dan Johan Setia), tiga kawasan di Negeri Sembilan (Nilai, Seremban, dan Port Dickson), dua kawasan di Melaka (Alor Gajah dan Bukit

Rambai), dua kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Batu Muda dan Cheras), dan masing-masing satu kawasan di Perak (Taiping) dan Putrajaya.

"Manakala lain-lain stesen adalah berada pada bacaan baik dan sederhana. KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya peka dengan perubahan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing dengan merujuk laman web rasmi JAS di alamat https://apims.doe.gov.my/home.html," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 8:57 PM