ILUSTRASI masjid terapung yang bakal dibina di Dubai dengan kapasiti memuatkan antara 50 hingga 75 jemaah.  FOTO Agensi
ILUSTRASI masjid terapung yang bakal dibina di Dubai dengan kapasiti memuatkan antara 50 hingga 75 jemaah. FOTO Agensi
Agensi

Dubai bakal membina sebuah masjid terapung pertama di dunia yang dianggarkan bernilai 55 juta dirham (kira-kira RM70.72 juta), lapor Gulf News.

Projek itu direka untuk memperkukuhkan pelancongan Islam di emiriah itu.

Dijadualkan siap pada 2024, struktur inovatif itu terdiri daripada tiga tingkat dngan fungsi unik berlainan.

Tingkat pertama untuk ruang solat bawah air, tingkat kedua pula menempatkan dewan serba guna dan tingkat ketiga digunakan untuk pameran Islam.

Dengan kapasiti memuatkan antara 50 hingga 75 jemaah, projek luar biasa ini bakal menjadi mercu tanda ketenangan rohani dan simbol budaya.

Selain itu, masjid ini dirancang menganjurkan pameran al-Quran.

DEWAN solat bawah air dengan pemandangan seperti dalam akuarium.  FOTO Agensi
DEWAN solat bawah air dengan pemandangan seperti dalam akuarium. FOTO Agensi

Projek mercu tanda

Perunding Komunikasi Budaya di Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Amal Dubai, Ahmed Khalfan Al Mansouri berkata, projek itu menjadi mercu tanda kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Kami percaya, kemanusiaan sebagai konsep lebih tinggi dan komprehensif daripada semua konsep lain yang lazim pada zaman ini.

"Pelancongan berperanan sebagai jambatan budaya dan tarikan penting bagi pelawat dan pelabur.

"Ia dicapai berdasarkan reputasi UAE dalam aspek keselamatan, hospitaliti dan menerima kepelbagaian," katanya ketika sidang media pengumuman projek itu di ibu pejabat jabatan berkenaan, baru-baru ini.

Ia turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Amal di Dubai, Dr Hamad Al Sheikh Ahmed Al Shaibani dan tokoh terkemuka lain dari pelbagai jabatan.

RUANG santai yang dicadang untuk menempatkan kafe.  FOTO Agensi
RUANG santai yang dicadang untuk menempatkan kafe. FOTO Agensi

Pelancongan mesra pelbagai agama

Sementara itu, Ketua Inisiatif Pelancongan Agama, Dr Abdullah Ibrahim Abdul Jabbar berkata, Projek Pelancongan Keagamaan di Dubai bertujuan mempromosikan status Dubai sebagai hab pelancongan keagamaan global selain mengalu-alukan pelawat dari semua latar belakang.

Katanya, ia selaras matlamat meletakkan Dubai sebagai bandar paling banyak dikunjungi di dunia menjelang 2025 seperti digariskan dalam strategi Dubai 2025.

"Projek itu merangkumi beberapa siri inisiatif termasuk Iftar Dubai, perhimpunan unik wakil agama dan lawatan ke masjid bersejarah, baharu dan terbilang.

"Ia juga menampilkan program sosial, sukan dan pendidikan dalam inisiatif Hala Ramadan, memupuk perpaduan dan pertukaran budaya," katanya.

DEWAN serbaguna untuk acara kebudayaan Islam. FOTO Agensi
DEWAN serbaguna untuk acara kebudayaan Islam. FOTO Agensi

Taman al-Quran

Beliau juga menyentuh aspek taman al-Quran dan pasar perayaan yang terletak berhampiran masjid utama dan pusat jabatan.

Ia menawarkan kepada pelancong Muslim dan bukan Muslim untuk melihat sekilas tradisi emiriah semasa perayaan sambil mempromosikan pertukaran budaya dan perayaan meriah.

Program itu merangkumi fatwa, perundingan dan sebagainya sekali gus menjadikan Dubai destinasi menarik untuk pelancong Muslim dan bukan Islam.

Dengan projek monumental ini, Dubai menjangkakan lonjakan tiga hingga empat peratus dalam aspek lawatan pelancong sekali gus memupuk integrasi budaya dan persefahaman bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 7:05 AM