FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mahaizura Abd Malik


Risiko hujan ekstrem, bah besar rendah

Kuala Lumpur: Kajian impak El Nino dilaksana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merumuskan kemungkinan risiko hujan ekstrem dan banjir besar kurang berlaku tahun ini.

Pakar Klimatologi dan Felo, Akademi Sains Malaysia, Dr Fredolin Tangang berkata, fenomena El Nino ialah sebahagian keragaman iklim semula jadi dan tidak dikaitkan dengan pemanasan global yang disebabkan peningkatan kepekatan gas rumah hijau.

Namun kata beliau, fenomena iklim dan ekstrem kini boleh diperkuat dengan fenomena El Nino, La Nina atau fenomena keragaman iklim lain selain pemanasan global.

"Berdasarkan corak impak El Nino daripada kajian kami lakukan, boleh disimpulkan kebarangkalian hujan ekstrem dan banjir besar berlaku semasa El Nino menurun berbanding dua tahun kebelakangan ini yang mana La Nina berlaku dan meningkatkan kebarangkalian hujan ekstrem dan banjir besar," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas berkaitan jangkaan risiko musim tengkujuh kali ini disebabkan pertembungan dengan EL Nino yang lebih ekstrem pada kali ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian beliau bersama pasukan UKM melihat cuaca ekstrem semasa fenomena El Nino dan La Nina pada beberapa kategori termasuk kuat, sederhana dan lemah.

"Kami mendapati kehadiran El Nino membawa corak impak berlainan mengikut musim dan lokasi. Bagi El Nino yang kuat, kami dapati frekuensi atau kekerapan hujan ekstrem pada musim tengkujuh menurun secara drastik di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Keadaan kering dan kemarau di utara Sarawak dan Sabah biasa berlaku pada Februari hingga April semasa tahun kedua fenomena El Nino," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Zulfa Hanan Ash'aari berkata, berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), keadaan lebih kurang sama seperti situasi purata.

"Cuma beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah menerima hujan kurang daripada purata, mungkin kesan El Nino.

"Seperti biasa, kawasan di pantai timur tetap akan menerima jumlah hujan yang signifikan yang boleh menyebabkan banjir semasa monsun pantai timur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 12:01 PM