Bangi: Hujan ekstrim sewaktu banjir besar di beberapa negeri di pantai timur, Disember lalu berkemungkinan besar disebabkan oleh keragaman iklim yang berkait rapat dengan fenomena Rambatan Ayunan Madden-Julian (MJO).

Analisis saintifik berkenaan diketengahkan profesor dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Fredolin Tangang.

Menurut Dr Fredolin, MJO dalam skala yang besar bergerak dari Lautan Hindi merentasi beberapa negara termasuk Malaysia menuju ke Lautan Pasifik.

Beliau berkata, ketika musim tengkujuh Disember lalu, kehadiran MJO fasa kering dan kemudian diikuti MJO fasa basah berkemungkinan menyediakan keadaan yang sesuai untuk hujan ekstrem.

Katanya, keadaan itu menyebabkan banjir besar berlaku seperti yang berlaku di Kelantan, baru- baru ini.

“Berdasarkan rekod, jumlah taburan hujan pada tarikh 21 hingga 24 Disember lalu adalah 1,000 mililiter.

“Jumlah yang dicatat dalam masa empat hari itu nyata mengejutkan kerana ia bersamaan dengan jumlah taburan hujan bagi tempoh satu musim tengkujuh di negara ini.

“Ia juga mengatasi rekod taburan hujan sewaktu banjir besar di Johor pada penghujung 2006 lalu,” katanya ketika ditemui pada sesi ceramah umum Episod Hujan Ekstrim Semasa Banjir 2014: Keragaman atau Perubahan Iklim di UKM, semalam.

Menurut Dr Fredolin lagi, Malaysia adalah negara yang terletak berhampiran Lautan Hindi dan Lautan Pasifik selain turut berdepan dengan monsun barat daya serta monsun timur laut.

Tambahnya, ketika banjir besar tempohari juga, kemungkinan besar juga MJO lebih terarah kepada kawasan atas semenanjung kerana tiada pergerakan angin luluran sejuk dari Siberia.

Jelas Fredolin, jika terdapat angin luluran sejuk ketika itu, perolakan akan menolak ke bawah dan menyebabkan hujan lebat berlaku di kawasan bawah semenanjung terutama Johor.

“Banjir besar yang berlaku di Johor (pada penghujung 2006 dan awal 2007) lalu mungkin disebabkan pertembungan MJO dan angin luluran sejuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:50 AM