TERUJA bakal membintangi filem La Luna. FOTO Aziah Azmee
TERUJA bakal membintangi filem La Luna. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph


MENJADI antara anak seni yang menatang industri dengan sepenuh hati, pelakon Sharifah Amani ingin melihat kemajuan demi kemajuan dalam ekosistem hiburan tanah air kita.

Pelakon yang mesra disapa Nani, 37, ini malah, sangat gembira dengan kemeriahan industri hiburan sekarang. Bukan setakat anak seni, bahkan pempengaruh semakin galak mendapat tempat dalam lapangan itu.

Sekali gus, transisi industri kepada budaya selebriti jelas terasa terutama di media sosial. Golongan artis dilihat sebagai idola yang dipuja dari pelbagai aspek dan bukan bakat seni saja.

Apapun, Nani menekankan bahawa apa yang perlu artis sekarang kejar adalah jangka hayat lama dalam kerjaya. Untuk ke arah itu, perlu terapkan kualiti terbaik agar mampu terus kekal relevan.

"Saya okay saja sebab rezeki masing-masing. Setiap zaman ada 'celebrity culture' mereka. Namun bagi saya, untuk terus kekal perlu diterapkan bersama adalah kesungguhan dan disiplin yang tinggi.

"Saya sudah berada dalam industri hiburan lebih 20 tahun. Kalau hendak berada lama, kita kena serius dan belajar. Kita perlu tahu apa kesusahan yang kita lalui," katanya.

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 menerusi filem Gubra itu melihat sendiri kepayahan ramai anak seni sepanjang dua dekad berada dalam bidang ini. Dia sendiri masih terus kental perbaiki diri.

Nani percaya trend artis muncul semusim akan perkara yang harus ditelan apabila mencuba nasib. Ramai kecundang kerana kekurangan kualiti sebagaimana artis yang benar-benar bagus.

"Dari dulu saya lihat, mereka yang serius dalam bekerja akan bertahan lebih lama. Mereka yang tidak bersungguh-sungguh atau tidak bagus, akan hilang. Dari dulu sampai sekarang trend akan jadi begitu," katanya.

Dalam pada itu, Nani juga sentiasa prihatin terhadap kepayahan dihadapi graduan seni yang tidak dapat bekerja dalam bidang berkenaan sebaik tamat pengajian.

Baginya, kemelut begitu perlu diperhalusi ramai pihak. Bukan sekadar produksi bahkan stesen TV dan pihak-pihak lain agar membuka pangkalan data dahulukan nama-nama graduan seni untuk diberi pekerjaan.

Sebagai contoh, pelajar lepasan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) misalnya memiliki banyak graduan berbakat besar.

PRIHATIN terhadap graduan seni yang tidak mendapat kerja dalam industri. FOTO Aziah Azmee
PRIHATIN terhadap graduan seni yang tidak mendapat kerja dalam industri. FOTO Aziah Azmee

Kata Nani, merekalah yang patut diketengahkan oleh pihak stesen TV dan wajar diberi perhatian. Bagaimanapun, mereka sukar mendapat peluang pekerjaan dalam industri seni kerana tidak diberi peluang atau dipandang.

"Industri seni kita banyak bakat-bakat yang amat berpotensi. Satu contoh dapat dilihat ialah semasa saya dipanggil untuk menjadi juri di sebuah pertandingan teater pendek di Aswara baru-baru ini.

"Saya seronok tengok ramai bakat yang hebat dan ada potensi. Tetapi, selepas itu, apa? Ke mana mereka? Ada ramai yang mengadu pada saya mereka susah nak dapat pekerjaan terutama ketika Covid-19.

"Saya benar-benar berharap, agar lebih banyak penerbit, produksi dan stesen telebisyen beri keutamaan kepada graduan-graduan ini untuk berkerja mengikut cabang seni yang dipelajari," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nani sangat teruja dapat kembali beraksi di layar perak menerusi filem La Luna. Filem Arahan M Raihan Halim itu akan mula ditayangkan di pawagam pada 9 November nanti.

Menurutnya, terlalu banyak hal yang mengujakannya mengenai pembabitan dalam La Luna. Sebagai teraju utama melakonkan watak Yam, dia paling suka mesej hebat naskhah itu.

"Lama tak baca skrip yang segar begini, berani tanya soalan penting kepada masyarakat. Isu-isu wanita kuat dalam filem ini juga. Memang sangat dekat dengan hal-hal dan moral yang saya percaya.

"Lagi-lagi bila saya tanya Raihan kenapa nak buat cerita itu, dia katalah keluarganya ramai dengan wanita. Terdapat banyak cerita berbeza yang dia ingin kemukakan.

"Jadi, filem ini ibarat menghantar surat cinta buat wanita-wanita dalam keluarganya. Tiada niat lain, dia jujur, jadikan ia ringkas," katanya.

Selain itu, Nani menyifatkan produksinya menjadi lebih meriah apabila dihimpunkan bersama nama-nama handalan. Dia akui setiap saat di set penggambaran menjadi bermakna besar buatnya.

Selain dia, filem berkisar penjual coli di sebuah kampung masih kolot berkenaan turut dibintangi Shaheizy Sam, Iedil Dzuhrie, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad dan Wafiy Ilhan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 7:00 AM