MENDIANG Loo Sin. FOTO Ihsan Tew Loo Hui
MENDIANG Loo Sin. FOTO Ihsan Tew Loo Hui
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: "Kakak memang aktif mendaki, dia yang masih bujang sudah banyak menawan pelbagai gunung di seluruh negara dan tidak mempunyai sebarang penyakit," kata Tew Loo Hui mengenai kakaknya Tew Loo Sin, pendaki Malaysia yang meninggal dunia dalam misi menawan Gunung Annapurna, Nepal, Ahad lalu.

Mendiang Loo Sin, 51, bersama 10 lagi ahli kumpulan dilaporkan ke Kathmandu pada 1 Oktober lalu bagi menyertai misi pendakian itu.

Mendiang dilaporkan mengalami sesak nafas pada malam Sabtu lalu di Kem Pangkalan Annapurna (ABC) (4,130 meter (m) dari aras laut) sebelum dibawa turun ke Kem Pangkalan Machapuchare (MBC) (3,600 m dari aras laut) namun meninggal dunia pada 2 pagi Ahad lalu.

Loo Hui berkata, dia ada dihubungi kumpulan pendaki terbabit berhubung kejadian yang menimpa kakaknya itu.

"Pada 7 Oktober (Sabtu) lalu, kakak yang menyertai misi terbabit mengalami sesak nafas sebelum kumpulan pendaki membawa dia turun ke ABC.

"Ketika menerima rawatan di situ, kakak masih dalam keadaan yang lemah dan sekali lagi dibawa turun ke MBC dan meninggal dunia di Bamboo Hill," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jenazah Loo Sin kini berada di hospital dan menunggu proses bedah siasat dijalankan.

Katanya, dia sekeluarga sudah berbincang untuk menyempurnakan jenazah kakaknya di sana sebelum membawa abu pulang ke negara ini.

"Sebelum pergi dia ada memberitahu keadaan cuaca di sana amat buruk namun dia tetap bersemangat untuk menawan Gunung Annapurna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 6:29 PM