Seramai 62 pendaki terdiri pengamal media termasuk dari Kumpulan Media Prima, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kakitangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH)  mengibar Jalur Gemilang selepas sampai ke Annapurna Base Camp (ABC). FOTO Luqman Hakim Zubir
Seramai 62 pendaki terdiri pengamal media termasuk dari Kumpulan Media Prima, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kakitangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) mengibar Jalur Gemilang selepas sampai ke Annapurna Base Camp (ABC). FOTO Luqman Hakim Zubir
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Siapa tidak pernah menonton filem hebat lakonan Tom Cruise ‘Mission Impossible’ yang menyajikan pelbagai adegan mendebarkan dalam melengkapkan misi mustahil menyelamatkan dunia.

Begitu juga ekspedisi ke Kem Pangkalan Annapurna (ABC) oleh 62 pendaki terdiri daripada pengamal media, pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dianggap satu misi mustahil untuk dilaksanakan.

Sebaik cadangan dan kertas kerja dikemukakan urusetia Kelab Rekreasi dan Kebajikan Media Pahang sejak lapan bulan lalu, ada suara sinis mengatakan misi ke ABC sukar untuk direalisasikan disebabkan jumlah peserta terlalu ramai selain sukar dikendalikan.

Namun, ibarat kata pepatah ‘kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’ sesuai menggambarkan kegigihan urusetia dan penganjur yang berusaha keras siang malam bagi memastikan misi membawa kumpulan terbesar dari Malaysia ke ABC terlaksana.

Bermula dengan latihan intensif di Gunung Irau, Cameron Highlands; Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu, Selangor; dan Gunung Ledang, Tangkak, Johor menyaksikan usaha gigih 62 pendaki menjalani latihan fizikal dan mental sebagai persiapan menakhluk ABC direalisasikan dengan jayanya.

Sebaik menjejakkan kaki di Kathmandu, ibu negara Nepal pada 24 April lalu segalanya seolah-olah menjadi nyata buat semua peserta kerana hanya beberapa langkah saja misi mereka akan dilengkapkan sekali gus mencipta sejarah negara.

Sebahagian peserta Cabaran Annapurna 2017 memulakan pendakian. FOTO Luqman Hakim Zubir
Sebahagian peserta Cabaran Annapurna 2017 memulakan pendakian. FOTO Luqman Hakim Zubir

Berbekalkan dorongan dan tunjuk ajar ketua ekspedisi iaitu Koresponden Wilayah TV3 Pantai Timur, Ahmad Fazli Ahmad dan Anggota Akademi JBPM Kuala Kubu Bharu, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa semua peserta dilihat bersedia dari segi mental dan fizikal menjelang hari pendakian pada 27 April.

Segala nasihat dan petua diperturunkan mereka dengan memberikan beberapa cadangan serta taktikal dalam pendakian yang mana semua pendaki perlu menempuh laluan pendakian berbatu selain cuaca sejuk di bawah paras beku.

‘Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’ berbekalkan pepatah Melayu itu semua pendaki menuju ke kaki gunung yang terletak di Siwai selepas melalui perjalanan berliku hampir tiga jam dengan bas pacuan empat roda yang melalui jalan tidak berturap di lereng-lereng gunung dari Pokhara. Dengan misi dan harapan untuk menakluk ABC sebagai kumpulan terbesar dari Malaysia, sebelum itu pendaki menempuh perjalanan selama lapan jam dengan bas dari Kathmandu ke Pokhara.

Semua pendaki termasuk 21 pegawai dan anggota JBPM turut membacakan doa selamat sebelum memulakan pendakian selain aktiviti regangan dan memanaskan badan yang disifatkan perkara wajib perlu dilakukan semua pendaki gunung.

Tepat jam 11 pagi waktu tempatan (1.20 tengah hari waktu Malaysia) semua pendaki memulakan ekspedisi hari pertama menuju ke rumah tumpangan Jhinudanda yang memakan masa lima hingga tujuh jam perjalanan yang mana ekspedisi itu turut dibantu 23 tukang angkut barang (porter) terdiri daripada pemuda Nepal.

Perjalanan hari pertama nyata bukan cabaran sebenar buat semua pendaki apabila selamat tiba ke destinasi mengikut jadual ditetapkan selain kebanyakan mereka masih segar dan bersemangat untuk menawan ABC.

Bagaimanapun, hari kedua pendakian adalah cabaran sebenar buat semua pendaki kerana selain jadual perjalanan panjang untuk ke rumah tumpangan Bamboo, peserta juga perlu melalui laluan berliku seperti pendakian beribu-ribu mata tangga dan melalui laluan berbatu yang menguji ketahanan mental dan fizikal setiap pendaki.

Sebahagian peserta Cabaran Annapurna 2017 memulakan pendakian. FOTO Luqman Hakim Zubir
Sebahagian peserta Cabaran Annapurna 2017 memulakan pendakian. FOTO Luqman Hakim Zubir

Malah, cabaran hari kedua menyaksikan ada segelintir peserta tiba lewat daripada jadual perjalanan disebabkan tidak menyangka dengan cabaran ‘diberikan’ untuk menawan ABC.

Di sini, bermulalah peranan dimainkan Ahmad Fazli dan Mohd Fakhrul Munir selaku ketua ekspedisi dalam menaikkan semangat dan moral pasukan yang dilhat sudah semakin menurun disebabkan cabaran ketinggian semakin meningkat selain perlu menempuh cuaca sejuk di hari berikutnya.

Kebanyakan pendaki turut mendapatkan khidmat nasihat kakitangan perubatan KKM mengenai ubat perlu diambil jika jatuh sakit selain pemeriksaan kesihatan asas setiap pagi sebelum meneruskan pendakian hari ketiga yang menuntut kesihatan mental berada di tahap terbaik.

Hari ketiga pendakian menyaksikan perjalanan pendakian dari rumah tumpangan Bamboo ke rumah tumpangan Deurali yang berada pada ketinggian melebihi 3,000 meter (m) dari paras laut.

Perjalanan memakan masa lima hingga tujuh jam menuntut pendaki berada dalam kondisi terbaik bagi mengelak diserang penyakit akut gunung (AMS) yang mana sering menyerang pendaki apabila berada pada kedudukan semakin tinggi dengan kadar oksigen menipis.

Satu ketika penulis sendiri berdepan simptom AMS iaitu berasa pening dan loya yang boleh menyebabkan muntah namun segalanya kembali normal selepas mengikuti dan mengamalkan nasihat diberikan ketua ekspedisi jika pendaki berdepan tanda-tanda AMS.

Perjalanan hari keempat umpama pertarungan hidup dan mati buat semua pendaki, mana tidaknya hanya selangkah lagi kumpulan ini bakal menempa nama dalam sejarah negara untuk menawan ABC dan mengibarkan Jalur Gemilang gergasi berukuran 12 meter lebar dan enam meter tinggi dengan berat 11 kilogram.

Menurut Mohd Fakhrul Munir, perjalanan hari keempat mengkehendaki semua pendaki bersiap-siaga dari segi mental dan fizikal selain bersedia berdepan perubahan cuaca dan suhu secara mendadak ketika ingin menakluk ABC.

Pendaki terpaksa menempuh  kawasan salji tebal untuk sampai ke Annapurna Base Camp.  FOTO Nazirul Roselan
Pendaki terpaksa menempuh kawasan salji tebal untuk sampai ke Annapurna Base Camp. FOTO Nazirul Roselan

Baginya, kondisi tubuh badan yang sihat dan sentiasa mendengar arahan ketua ekspedisi akan menjadikan semua 62 pendaki selamat tiba di kem ABC yang sebelum ini hanya diibaratkan seperti kisah dongeng.

Sebaik meninggalkan Deurali seawal jam 8 pagi semua pendaki memulakan langkah untuk menggapai impian mereka ke ABC yang mana banyak perkara tidak diduga bakal ditempuh.

Hujan biasa, hujan air batu, hujan salji berbutir dan akhirnya ribut salji seperti kapas menjadi habuan pendaki akibat perubahan suhu secara mendadak ke kem ABC, namun berkat kesabaran dan kecekalan kesemua mereka akhirnya selamat tiba di kem ABC tepat jam 2 petang waktu tempatan (4.20 petang waktu Malaysia).

Umpama mimpi menjadi nyata apabila semua pendaki selamat tiba dan berada dalam keadaan sihat sekali gus berjaya mengibarkan Jalur Gemilang gergasi yang mana lebih manis kejayaan itu disusuli ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui laman sosial Twitter miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 4:26 PM