ALLAHYARHAM Maya Matahari (kiri) dan Amyza Aznan. FOTO Arkib NSTP
ALLAHYARHAM Maya Matahari (kiri) dan Amyza Aznan. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


ALLAHYARHAM Maya Matahari berkali-kali memaklumkan kepada ibunya dia mahu berjumpa dengan sahabat baiknya yang juga pelakon, Amyza Aznan.

Amyza ketika dihubungi berkata, ibu Maya memaklumkan penyanyi itu merindukannya.

“Apabila saya tiba di hospital semalam, ibunya berkali-kali beritahu saya yang Maya nak sangat berjumpa dengan saya dan sering bertanya, kenapa saya tak datang melawatnya.

“Di hospital, saya nampak mata arwah tertutup separuh. Saya cakap saya sudah sampai dan saya dapat lihat matanya tertutup rapat selepas itu. Biarlah orang nak kata apa, tapi saya yakin yang dia tahu kehadiran saya," katanya.

Maya atau nama sebenarnya Mya Ruslee meninggal dunia di pusat perubatan di Sungai Buloh, Selangor, petang semalam akibat kanser.

Amyza berkata, dia berkawan rapat dengan arwah sejak 20 tahun lalu.

"Sebelum saya, dia terlebih dulu menjadi artis dan saya sangat mengidolakannya sebagai penyanyi. Apabila saya sudah bergelar pelakon, tak sangka pula kami berkawan rapat dan jadi empat sekawan iaitu saya, dia, Ieda Moin dan pelakon Nazia Mustafar,” katanya.

Amyza berkata, Maya adalah sahabat ketika zaman susah dan senangnya.

"Kami pernah makan sepinggan, tidur sebantal, malah pernah berkongsi wang RM5 untuk membeli makanan ketika zaman kegawatan satu ketika dulu.

"Dia adalah sahabat yang sangat baik, bertanggungjawab, setia, pandai menyimpan rahsia dan suka membantu kawan-kawan yang ada masalah," katanya.

Menurut Amyza, mereka pernah bergaduh dan ia membuatkannya jauh hati dengan Maya sekali gus membuatkan mereka bermasam muka.

“Bagaimanapun, kami berbaik semula. Kali terakhir saya bertemunya 12 tahun lalu tapi selepas itu kami sering berhubung menerusi telefon. Saya rasa ralat kerana seperti mengabaikannya apabila nak berjumpa dengannya. Tapi, alhamdulillah, semalam saya berkesempatan menziarahi jenazahnya di hospital," katanya.

Ditanya mengenai kanser yang dihidapi Maya, Amyza berkata, dia sudah tahu mengenainya sejak beberapa tahun lalu.

"Ketika dia menyertai Gegar Vaganza 5 pada 2018, dia beritahu saya dia menghidap kanser. Namun, dia minta supaya saya merahsiakan perkara itu daripada semua orang.

"Katanya, dia tak mahu orang rasa simpati terhadapnya dan tak mahu ada dalam kalangan warganet akan menganggap dia mereka cerita untuk menaikkan namanya. Jadi, saya pegang amanahnya itu sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir," katanya.

Jenazah Maya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Kautsar di Machap, Johor jam 4.07 petang hari ini.

Berita berkaitan

Maya Matahari meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 6:23 PM