HASSAN menceritakan penindasan dilakukan syarikat keselamatan terhadap pengawal keselamatan sepertinya.
HASSAN menceritakan penindasan dilakukan syarikat keselamatan terhadap pengawal keselamatan sepertinya.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin dan Minda Ranggong


Kuala Lumpur: Pengawal keselamatan yang bekerja dengan sebuah syarikat perkhidmatan keselamatan di sini, berasa tertindas apabila mendakwa syarikat berkenaan tidak mematuhi had gaji minimum selain tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Malah mereka juga hanya diberikan dua hari cuti rehat dalam tempoh sebulan dengan tiada cuti tahunan serta dikenakan potongan gaji sebanyak RM100 sehari sekiranya bercuti tanpa makluman dan potongan RM10 sehari jika tidak hadir taklimat sebagai denda atas tindakan itu.

Menurut pengawal keselamatan yang hanya mahu dikenali sebagai Hassan, 40-an, tiada surat tawaran kerja dan tiada slip gaji diberikan syarikat itu sejak dia mula bertugas mengawal sebuah residensi di ibu kota pada Julai tahun lalu.

Katanya, sejak bekerja di syarikat itu, semua urusan hanya berdasarkan lisan melalui pegawai operasi yang dilantik termasuk tawaran kerja, janji untuk menaikkan gaji dari RM1,800 sebulan kepada RM2,100 sebulan selepas tiga bulan bekerja serta janji untuk mencarum KWSP dan Perkeso.

"Malah gaji kami dibayar melalui mesin deposit tunai (CDM) tanpa sebarang slip.

"Selepas tiga bulan menunggu dan sehingga kini, kami masih belum dicarum (KWSP dan Perkeso) dan tiada kenaikan gaji.

"Bayangkan khidmat kami sebagai pengawal keselamatan diberikan gaji RM5 sejam dengan masa bertugas 12 jam sehari tanpa sebarang tambahan gaji ketika cuti umum. Ia jauh lebih rendah berbanding nilai gaji sepatutnya kami terima iaitu RM2,540 jika bekerja 12 jam sehari dengan hanya dua kali cuti rehat dalam sebulan.

"Situasi ini diibaratkan syarikat 'mencuri' keringat kami dengan gaji begitu rendah dan tidak mengikut had gaji minimum ditetapkan kerajaan.

"Kami merasa tertindas apatah lagi semua pengawal keselamatan yang bertugas di sini (residensi terbabit) adalah warga tempatan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Walaupun menyedari bakal berdepan tindakan dibuang kerja apabila mendedahkan mengenai dakwaan itu, Hassan nekad untuk tampil membuat laporan berhubung perkara itu kepada pihak polis serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pada Jun lalu.

"Apa yang membuatkan saya terus bekerja di sini adalah hubungan akrab dengan pejabat pengurusan (residensi) dan jarak dekat dengan tempat tinggal.

"Walaupun sudah memberikan sepenuh komitmen ketika bertugas namun ada juga rasa teraniaya dengan 'layanan' daripada syarikat keselamatan.

"Saya yang masih bujang juga terkesan dengan keadaan ini apatah lagi mereka yang berkeluarga perlu menyara anak dan isteri dengan kos sara hidup semakin meningkat.

"Memikirkan perkara ini menyebabkan saya berani untuk mendedahkan perkara ini yang saya anggap seperti 'jenayah terancang'.

"Dalam kes sebegini, sepatutnya syarikat yang diambil tindakan kerana sudah melakukan 'kecurangan' terhadap gaji pekerja," katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan maklum balas daripada syarikat perkhidmatan keselamatan berkenaan gagal apabila pihak terbabit enggan mengulas lanjut ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 9:01 AM