Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Persatuan Hak Masyarakat Malaysia (PHMM) merekodkan sebanyak 32,880 kes membabitkan nilai tuntutan termasuk kadar faedah hampir RM10 bilion oleh sindiket along yang 'dikenakan' terhadap mangsa.

Pengerusinya Mohammad Mustafa Shaik Ismail berkata, data berkenaan direkodkan badan bukan kerajaan (NGO) itu dari September 2022 hingga Mei lalu.

"Setiap hari PHMM menerima kira-kira 30 aduan mangsa yang dijerat dengan Along meminta bantuan.

"Sepanjang September hingga Mei lalu, kita merekodkan 32,880 aduan membabitkan nilai pokok pinjaman RM8 juta serta hampir RM10 bilion nilai tuntutan Along termasuk kadar faedah yang dikenakan terhadap mangsa.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 7,852 kes berjaya diselesaikan membabitkan nilai RM4 juta yang dibayar kepada Along," katanya.

Mohammad Mustafa berkata, pihaknya mendapati sebanyak 80 peratus mangsa along terdiri daripada kalangan wanita.

"Dari segi pecahan kes, 50 peratus mangsa adalah keluarga susah yang membuat pinjaman along kerana desakan dan kelangsungan hidup seperti membeli makanan dan susu anak, membayar bil serta sewa tertunggak dan perubatan.

"Sebanyak 20 peratus pula ialah pelajar universiti dan kolej yang meminjam along kerana gaya hidup seperti beli beg tangan mewah, telefon pintar, komputer riba dan vape bukan untuk tampung bayar yuran pengajian.

"Manakala sebanyak 30 peratus lagi mangsa mengakui mereka meminjam along untuk membeli dadah dan berjudi serta berseronok dengan wanita," katanya.

Menurutnya, mangsa bukan hanya terdiri daripada rakyat biasa, malah daripada latar belakang berlainan termasuk selebriti, pegawai polis, tentera, doktor, ahli perniagaan serta orang kenamaan berpangkat Datuk.

Katanya, sebanyak 10 peratus daripada jumlah kes terbabit akan datang semula meminta bantuan dengan PHMM selepas meminjam dengan along buat kali kedua.

"Mungkin orang ingat caj 10 peratus itu bisnes. Ya, memang sebelum ini, kami tidak mengenakan bayaran, tetapi ada mangsa mengambil kesempatan apabila tidak serik meminjam lagi selepas kesnya kami selesaikan.

"Sejak November lalu, kami mengenakan caj 10 peratus bagi memberi pengajaran kepada mangsa supaya jangan mudah membuat pinjaman along dan datang lagi untuk meminta bantuan untuk menyelesaikan kes mereka.

"Caj itu juga berpatutan, sesuai dengan keadaan sekarang kerana kami ada kos operasi termasuk sewa pejabat, gaji pekerja dan utiliti. Sebelum ini kami tiada pejabat dan segalanya dilakukan secara 'mobile' di mana-mana saja," katanya.


Guna data peribadi untuk ugut mangsa

Kuala Lumpur: Mengumpan orang ramai dengan menawarkan pinjaman mudah menerusi pautan aplikasi khas sebelum menyedut data peribadi dalam telefon bimbit mangsa.

Itu modus operandi along untuk menjerat mangsa sebelum menjadikannya sebagai modal mengugut individu terbabit, keluarga dan kenalan mereka.

Mendedahkan taktik itu, Pengerusi Persatuan Hak Masyarakat Malaysia (PHMM) Mohammad Mustafa Shaik Ismail berkata, seiring dengan perkembangan teknologi, sindiket along semakin 'canggih' untuk memperdaya dan menjerat mangsa.

"Jika sebelum ini, proses pinjaman memerlukan pelbagai dokumen seperti slip gaji, penyata bank dan pengesahan majikan.

"Tetapi sekarang, sindiket ini meminta pemohon menekan pautan dihantar menerusi WhatsApp sebelum mengarahkan mangsa memuat naik aplikasi khas kononnya bagi mengisi maklumat diri untuk membuat permohonan pinjaman.

"Namun, sebaik mangsa memuat naik aplikasi itu, segala maklumat termasuk data peribadi, gambar, video dan senarai kenalan dalam telefon bimbit mangsa disedut tanpa disedari," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, mangsa hanya menyedari diperangkap along selepas kenalan dalam telefon bimbit termasuk keluarga, majikan dan rakan mereka diganggu dengan mesej kononnya mangsa gagal melunaskan hutang.

"Mereka akan mengganggu semua kenalan mangsa dengan mesej mengaibkan dan ugutan termasuk menyebarkan gambar mangsa.

"Ada mangsa mengalami tekanan melampau sampai hendak bunuh diri selepas diperangkap dengan puluhan along, hanya selepas memuat naik aplikasi itu ke telefon bimbitnya.

"Jadi, hati-hatilah jangan klik pautan sebarangan atau biarkan data peribadi dan kad pengenalan kita disalah gunakan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.


Jalan pintas 'menjemput' bala

Kuala Lumpur: Biarpun kes dijerat along bukan isu baharu namun masih ramai masyarakat terperangkap sehingga menjadi mangsa.

Kebiasaannya, kebanyakan mangsa sindiket pinjaman wang tidak berlesen ini dijerat akibat kesilapan mereka yang mencari jalan singkat dan mudah untuk menyelesaikan masalah kewangan dialami.

Ironinya, ada juga kes mangsa terjerat daripada pelbagai cara seperti termasuk dalam perangkap aplikasi dicipta khas untuk memperdaya orang ramai dan kad pengenalan mereka disalahgunakan.

Harian Metro berkongsi pelbagai kisah mangsa along agar dijadikan pengajaran dan iktibar kepada masyarakat supaya tidak terperangkap dengan jerat sindiket terbabit.


KISAH 1


Hanya kerana menyangka dirinya punca individu lain diganggu along, warga emas ini sanggup menawarkan buah pinggangnya untuk dijual.

Kisah keluhuran hati wanita ini dikongsikan Pengerusi Persatuan Hak Masyarakat Malaysia (PHMM) Mohammad Mustafa Shaik Ismail yang menyantuninya, Ogos tahun lalu.

Menurut Mohammad Mustafa atau Mustafa Khan, warga emas itu dirujuk seorang wanita kepadanya selepas seorang lelaki menuntut bayaran RM2,000 bagi menyelesaikan tuntutan along.

Katanya, wanita terbabit tinggal sebatang kara di sebuah bengkel di Setapak dan menyara hidup dengan mengutip serta menjual besi buruk mahupun tin.

"Suatu hari, dia tidak dapat keluar bekerja kerana tidak sihat dan terpaksa meminjam RM50 dengan seorang lelaki yang tinggal berdekatan bengkel itu.

"Lelaki itu bersetuju membantu dengan syarat mak cik terbabit membenarkan dia merakam gambarnya memegang kad pengenalan," katanya.

Katanya, tujuan lelaki itu adalah untuk membuat pinjaman di sebuah aplikasi dengan menggunakan telefon bimbitnya.

"Dengan menggunakan kad pengenalan mak cik itu, lelaki terbabit membuat pinjaman berjumlah RM300 namun selepas ditolak caj tertentu, dia hanya menerima RM150 saja.

"Dia memberikan RM50 kepada mak cik itu dengan bakinya diambil tanpa pengetahuan warga emas berkenaan yang tidak mengetahui dia meminjam daripada Along," katanya.

Menurutnya, lelaki itu menjadi marah kerana kerap diganggu along selepas tidak dapat membayar sejumlah tuntutan.

"Lelaki itu ingat dia selamat menggunakan kad pengenalan mak cik berkenaan untuk meminjam along, tetapi dia tidak tahu segala maklumat dalam telefon bimbitnya disedut termasuk senarai kenalan apabila memuat turun aplikasi itu.

"Akibat tidak berpuas hati, lelaki itu menuntut bayaran RM2,000 daripada mak cik berkenaan sebelum mak cik itu bertemu dengan seorang wanita yang membawanya bertemu saya," katanya.

Katanya, kes berkenaan antara paling menyentuh hatinya biarpun dia pernah bergelumang dengan dunia gangster selama 12 tahun.

"Air mata saya mengalir tak henti melihat ketulusan mak cik ini yang saya anggap macam ibu saya dan tidak berputus asa, tak nak lari dari hutang.

"Dia bertanyakan pusat (hospital) mana dia boleh jual buah pinggang untuk mendapatkan duit bagi membayar hutang kepada lelaki itu sedangkan dia tidak tahu lelaki itu mempergunakannya.

"Saya bersyukur Tuhan dipertemukan dengannya supaya saya dapat membantunya keluar daripada masalah ini dengan percuma. Jika tidak saya tidak tahu apa nasib dia sekarang," katanya.


KISAH 2


Bukan hanya kehilangan kerjaya dan rakan sekelip mata, lelaki ini turut mengalami tekanan hingga lumpuh separuh badan serta berniat membunuh diri dan mencederakan orang lain.

Shamsul, 37, berkata, dia dijerat sebuah aplikasi pinjaman wang selepas menekan pautan diberikan melalui WhatsApp.

Menurutnya, tragedi hitam yang berlaku Ogos tahun lalu mengubah 360 darjah hidupnya sehingga kehilangan kerja, rakan serta hubungannya dengan keluarga turut renggang.

"Saya tiada niat membuat pinjaman kerana gaji sebagai jurutera cecah RM12,000 sebulan, cuma isunya saya tertekan pautan diberikan dalam WhatsApp dan apabila saya muat turun aplikasi itu, dia macam 'loading' lama.

"Tidak lama selepas itu, saya menerima satu mesej mengatakan pinjaman saya berjumlah RM1,000 diluluskan dan selepas ditolak caj tertentu saya dimaklumkan dapat RM400 saja.

"Saya meminta bukti pembayaran kerana tiada duit masuk dalam akaun, namun individu itu gagal memberikannya. Saya pun malas layan, ingatkan isu itu tamat di situ," katanya.

Shamsul berkata, episod hitam bermula apabila gambarnya tular serta seorang demi seorang kenalan dalam senarai kenalan dalam telefon bimbitnya diganggu Along serta hampir 12 laporan polis dibuat mendakwa dia menjadikan mereka sebagai penjamin.

"Daripada satu aplikasi, saya diserang lapan aplikasi serentak hingga nilai tuntutan mencecah RM50,000.

"Sejak itu, gambar saya ditularkan dan kawan-kawan tempat kerja diganggu sehingga pihak pengurusan syarikat dapat tahu kes ini, saya diarahkan berhenti serta-merta.

"Saya bukan saja tak diberi peluang untuk menjelaskan semuanya, malah hilang kerjaya yang dibina sejak 2014, kawan dan keluarga saya pun hilang kepercayaan kepada saya," katanya.

Menurutnya, disebabkan terlalu tertekan, dia mengalami lumpuh pada sebelah kanan badan.

"Lebih rumit, saya didiagnos dengan pelbagai gangguan mental dan masalah psikosis kerana sudah ada niat membunuh diri dan mencederakan orang lain.

"Paling saya sedih, orang salahkan kita dan tak beri saya peluang jelaskan semuanya, sampaikan saya terpaksa asingkan diri yang menyebabkan saya tertekan dan rasa macam hendak bunuh diri," katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana tergerak hati untuk bertemu dengan Mohammad Mustafa Shaik Ismail selepas melihat lelaki itu berkongsi kesedaran membanteras Along di YouTube.

"Mustafa Khan satu-satunya orang yang sudi mendengar masalah saya dan menyelesaikan kes itu secara percuma, malah dia banyak membantu dan memberi semangat untuk saya bangkit.

"Selepas pulih daripada lumpuh pada Disember 2022, saya tekad bersama Mustafa Khan membela nasib mangsa Along sampai mati," katanya.

Shamsul yang bertugas sebagai Pegawai Perunding di PHMM berkata, kehidupannya kini lebih tenang, malah hubungannya dengan keluarga semakin baik.

Menurutnya, dia menganggap musibah menimpa dulu mempunyai hikmahnya kerana mungkin Allah mahu dirinya pula berjuang untuk membantu orang lain yang menjadi mangsa Along.


KISAH 3


Tidak tahan kerap diganggu dan diugut along, Man bersama isterinya, Siti, dari sebuah negeri di utara sanggup datang ke ibu negara semata-mata mendapatkan bantuan dan perlindungan daripada PHMM, baru-baru ini.

Dengan kewangan yang terhad, pasangan itu menaiki pengangkutan awam pada awal pagi sebelum tiba di ibu negara dan pulang semula ke utara pada hari sama.

Man, 45, berkata, dia tidak menyangka jalan pintas mendapatkan wang dengan cepat bagi menyelesaikan masalah kewangan dialami, menyentap ketenangan hidup mereka.

Katanya, mereka mula dihimpit masalah kewangan selepas perniagaan air balang yang diusahakan kira-kira empat tahun lalu bermasalah sejak Januari lalu.

"Perniagaan air balang kami menghadapi masalah hingga tidak boleh buat pusingan modal.

"Kebetulan pula kereta saya kerap rosak dan anak-anak pula hendak masuk sekolah, jadi memang banyak hendak pakai duit.

"Kami pernah memohon pinjaman bank tetapi tidak lulus. Kami juga malu meminjam daripada ahli keluarga dan tidak mahu menyusahkan mereka, membuatkan kami tekad mencuba nasib meminjam dengan Along," katanya.

Katanya, mereka membuat pinjaman sebanyak tiga kali dengan nilai keseluruhan RM3,000 sejak April lalu.

"Sampai satu hari saya dipaksa membayar lebih RM1,000, tetapi saya tak mampu membayar kadar faedah yang semakin hari semakin banyak.

"Apabila saya tak mampu bayar, along paksa saya membuat lagi pinjaman tetapi saya tak mahu alih-alih ada sejumlah duit dimasukkan dalam akaun.

"Lama-kelamaan pinjaman mencecah RM13,160, tetapi kami tak guna pun cuma pusing balik bayar faedah, tetapi itu pun tak dapat tutup hutang kerana along tuntut kami bayar RM19,050," katanya.

Man berkata, dia menerima ugutan gambarnya mahu ditularkan termasuk gangguan ke atas seluruh ahli keluarganya.

"Saya mula jadi takut, mungkin sekarang dia ugut sebarkan gambar kad pengenalan saya, mungkin satu hari nanti mereka datang kacau anak dan keluarga pula.

"Hidup kami tidak tenang sejak dikacau pada Mei lalu, hingga saya tak boleh fokus berniaga membuatkan saya dan isteri nekad pergi Kuala Lumpur berjumpa dengan PHMM.

"Memang serik tak mahu lagi buat pinjaman Along. Mungkin ini juga boleh jadi pengajaran kepada orang lain supaya carilah ikhtiar lain selain meminjam along kerana sekali terjerat memang susah kita hendak keluar masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 1:00 AM