TAY menerima aduan dibuat Aidil. FOTO Omar Ahmad
TAY menerima aduan dibuat Aidil. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


HANYA dalam tempoh sebulan, pinjaman yang dibuat menerusi ceti haram boleh mencecah sehingga RM25,000 akibat kadar bunga yang terlalu tinggi.

Itu yang terpaksa ditanggung seorang duda, 39, apabila kadar pinjaman yang awalnya dipinjam daripada seorang along hanya berjumlah RM4,000, kini meningkat menjadi RM25,000.

Aidil (bukan nama sebenar) yang bekerja di sebuah pelabuhan berkata, pada permulaannya dia hanya meminjam RM4,000 daripada seorang along dengan bayaran mingguan RM800.

Namun, akibat tidak boleh membuat kerja sambilan di luar kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia meminjam kepada along lain bagi membayar hutang sehingga kini sudah meminjam 12 along dengan jumlah keseluruhan pinjaman termasuk kadar faedah RM25,000.

"Sejak dua tahun lalu, saya memang sering meminjam along, tetapi berjaya melunaskan hutang tepat pada masanya, kerana selain mempunyai kerja tetap

saya juga mempunyai kerja sambilan.

"Hutang sebelum ini sudah dilunaskan. Tetapi, pada bulan Mac lalu, saya membuat pinjaman baru daripada seorang along kerana terpaksa berpindah rumah dan motosikal juga rosak.

"Saya pinjam RM4,000 dan sepatutnya bayaran RM800 sebelum tempoh 10 hari sehingga selesai. Tetapi, sebab PKP ini saya tidak boleh bekerja sambilan dan tidak boleh membayar hutang itu. Sekarang kadar bayaran mingguan mencecah RM8,000 untuk 12 along.

"Saya ditawarkan untuk meminjam along lain bagi membayar hutang along terbabit. Sehinggalah kini saya terpaksa menanggung hutang dari 12 along dengan jumlah yang besar", katanya ketika ditemui, hari ini.

Jelas Aidil, setakat ini, dia belum menerima tindakan ganas dari along namun ada menerima pesanan dari aplikasi WhatsApp, sekiranya gagal membayar akan dikenakan faedah mengikut hari.

Katanya, pada ketika ini faedah yang dikenakan RM400 bagi tempoh 10 hari untuk setiap satu along.

"Saya bimbang, saya bukan tidak mahu membayar, tetapi gaji kerja tetap saya terima secara bulanan. Selain, tidak ada duit mahu membayar along mengikut mingguan.

"Selepas PKP ini saya akan membuat kerja sambilan semula dan akan membayar kesemua along. Namun, saya bimbang jumlah wang itu akan terus meningkat.

"Saya berjumpa Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon dengan harapan dia dapat membantu saya untuk mencari jalan menyelesaikan hutang ini", katanya yang sudah biasa meminjam along sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Micheal Tay berkata, pihaknya akan menghubungi along dan berbincang agar menghentikan kadar bunga ke atas Aidil.

"Aidil ini boleh bayar hutang itu, tetapi kalau kadar bunga terus tinggi, dia tidak boleh bayar.

"Jadi saya akan berusaha membantu supaya along berhentikan kadar bunga atas hutang dia. Kini, keadaan sukar kerana tidak boleh kerja dan memang tidak boleh bayar. Mungkin along juga boleh bagi masa kepada dia sehingga tamat PKP", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 5:42 PM