SYAHMI berkongsi di FB mengenai naskhah baharu yang dikeluarkan hari ini, sebalik kecaman dan ancaman boikot diterima akibat isu air.
SYAHMI berkongsi di FB mengenai naskhah baharu yang dikeluarkan hari ini, sebalik kecaman dan ancaman boikot diterima akibat isu air.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Bagi sesetengah pihak, YouTuber popular, Syahmi Sazli dan isterinya, Anissa Faizul ibarat menjolok sarang tebuan apabila mengulas mengenai isu air di Kelantan.

Ada yang tidak senang apabila Anissa didakwa seolah-olah menyalahkan kerajaan negeri di bawah Pas gagal menyelesaikan masalah bekalan asas itu yang berlarutan bertahun.

Isu itu tambah sensitif apabila Kelantan kini dalam perang untuk meraih sokongan pengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung Sabtu ini.

Sebagai anak jati Kelantan, pasangan itu didakwa segelintir warganet sebagai melampau dan ada yang mahu memboikot kerja seni serta perniagaan mereka kerana berang.

Harian Metro cuba menghubungi Syahmi yang juga pengarah filem Mael Totey The Movie untuk mengulas perkara itu, namun tidak mendapat sebarang balasan.

Sebaliknya, pengkarya berusia 28 tahun itu memuat naik hantaran di Facebook (FB) yang memberitahu dia reda sekiranya diboikot.

"Kalau Mi (Syahmi) dan Nissa (Anissa) diboikot sebab bersuara untuk kebaikan rakyat senegeri, takpo (tidak mengapa), Mi reda.

"Yang mana masih ada bersama Mi, semoga Allah membalas kebaikan semua," katanya.

Dalam hantaran FB berikutnya, Syahmi berkongsi drama spontan terbaharu, Samer Yang Tersakiti yang ditonton lebih 65,000 dalam tempoh lima jam, hari ini.

Tidak mahu memanjangkan isu itu, isterinya yang disapa Nissa sudah membuat permohonan maaf secara terbuka di FB berhubung luahannya mengenai isu air.

Seperti suaminya, dia juga tenang menghadapi kecaman dan reda sekiranya ada yang mahu boikot bisnes mereka.

"Nissa minta maaf tentang isu Nissa bersuara haritu (kelmarin) menyebabkan ada pihak kurang senang. Yang mana komen hendak boikot bisnes Nissa dan Syahmi, Nissa reda.

"Setiap pilihan yang dibuat pasti ada risikonya. Bagi yang memberikan kata semangat dan terus support (sokong) Nissa dan Syahmi, Nissa ucapkan terima kasih banyak-banyak. Semoga urusan korang (anda) semua dipermudahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 11:05 PM