AMIRUDIN mengangkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Sharafuddin di Istana Alam Shah. FOTO Bernama
AMIRUDIN mengangkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Sharafuddin di Istana Alam Shah. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Klang: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dalam satu istiadat di Istana Alam Shah, hari ini.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta pengurniaan Surat Cara Lantikan diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Istiadat itu disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Amirudin turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu beliau penuhi dan patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Beliau turut melafazkan untuk bersedia ditimpa bencana diturunkan Allah SWT serta daulat Sultan Selangor jika melanggar sumpah sebagai Menteri Besar.

Amirudin memegang jawatan Menteri Besar sejak 2018 dan adalah Menteri Besar termuda dalam sejarah kerajaan negeri apabila dilantik ke jawatan itu pada usia 38 tahun pada 2018.

Beliau berjaya mempertahankan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos lalu dengan jumlah undi 19,678 meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Hanif Jamaluddin dan calon Bebas, Suman Gopal.

PH-BN memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 12 Ogos lalu.

Berita berkaitan:

Selangor bariskan 7 Exco baru

Portfolio Exco Selangor diumumkan Rabu ini

Keputusan rasmi PRN Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 11:35 AM