AMIRUDIN pada sidang media selepas sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam, hari ini. FOTO BERNAMA
AMIRUDIN pada sidang media selepas sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam, hari ini. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sudah mempersembahkan cadangan dua nama untuk menyandang dua jawatan EXCO kerajaan negeri yang kini kosong kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Khamis lalu.

Amirudin berkata, beliau sedang menunggu tarikh yang sesuai untuk majlis angkat sumpah yang akan ditentukan oleh Sultan Selangor sendiri.

"Saya sudah persembahkan kepada Sultan Selangor dan baginda akan meletakkan tarikh yang sesuai untuk majlis angkat sumpah. Negeri Selangor mempunyai protokol dan istiadat yang tertentu dan ia akan dilaksanakan di Istana Alam Shah.

"Saya ataupun pihak istana akan umumkan tarikh berkenaan apabila tiba masanya," katanya pada sidang media selepas sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam, hari ini.

Ditanya adakah dua individu yang akan dilantik sebagai EXCO itu adalah dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Selangor (PKR), beliau hanya menjawab ringkas, 'saya rasa' ( I think).

Sementara itu, difahamkan istiadat mengangkat sumpah dua EXCO baharu itu akan dijalankan selewatnya hujung bulan ini.

Dua jawatan yang kosong adalah jawatan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar serta EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

Terdahulu pada 5 Mac lalu, pentadbiran kerajaan negeri tidak lagi dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas mengambil kira dinamik politik semasa pada peringkat Persekutuan.

Sehubungan itu, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari digugurkan jawatan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan manakala pada Jumaat lalu, Amirudin mengumumkan akan memangku jawatan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar susulan kekosongan kerusi ditinggalkan ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha.

Kekosongan kerusi itu susulan pelucutan keahlian Haniza dalam PKR dengan syor Lembaga Disiplin ketika mesyuarat bulanan pada 28 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 4:57 PM