AMIRUDIN. FOTO Arkib BERNAMA
AMIRUDIN. FOTO Arkib BERNAMA
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini mengesahkan khabar angin beberapa pengerusi jawatankuasa atau Exco negeri sudah mula mengemas serta mengosongkan ruang pejabat.

Amirudin berkata, tindakan itu perkara biasa terutamanya pada akhir penggal bagi menghadapi pilihan raya.

"Baguslah sudah dikemaskan. Nak kumpulkan apa 'reporting' yang kita buat dan ini adalah perkara lazim, semua akan buat perkara yang sama.

"Dulu saya pada penggal lepas pun begitu. Ni bila dah nak bubar, kita pun bersiap sedia untuk kemas.

"Selepas ini tugas mereka (Exco) adalah untuk menjalankan apa yang dirancang dan tidak boleh ada polisi baharu. Masing-masing pada ketika itu akan sibuk dengan pilihan raya dan berada di lapangan," katanya selepas Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2023 di sini, hari ini.

Amirudin mengulas khabar angin tindakan beberapa Exco yang mengemas ruangan pejabat.

Ditanya mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Amirudin berkata, beliau menunggu perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk sesi menghadap bagi menentukan tarikh pembubaran.

"Minggu lepas saya dah menghadap baginda dan memaklumkan (berhubung sesi menghadap untuk pembubaran DUN). Secara asasnya Tuanku sedang berkira-kira untuk tarikh (bagi sesi menghadap) sebab baginda ada beberapa perancangan lain.

"Pembubaran DUN bukan satu acara biasa. Negeri Selangor ini ada tradisi. Ada mesyuarat dan tempatnya telah disiapkan dan ada sedikit istiadat.

"Ini adalah tradisi di Selangor yang ingin kita kekalkan yang perlu dibuat dengan cermat dan teratur," jelasnya.

DUN Selangor akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini.

Selangor adalah antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 3:11 PM