SATU objek mencurigakan dipercayai bahan letupan ditemui di bawah kereta milik peguam Siti Kassim ketika dihantar untuk di servis di Jalan Maarof, di sini.
SATU objek mencurigakan dipercayai bahan letupan ditemui di bawah kereta milik peguam Siti Kassim ketika dihantar untuk di servis di Jalan Maarof, di sini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan dua objek yang ditemui di bahagian bawah kereta milik peguam, Siti Kassim di pusat servis kenderaan di Jalan Maarof, Bangsar di sini adalah alat letupan termampat (IED).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihak Unit Pemusnah Bom (UPB) sudah menjalankan siasatan dan mendapati objek di dalam botol plastik itu adalah IED.

"Dua botol plastik berkenaan akan dihantar kepada pakar bagi pengesahan lanjut. Siasatan lanjut berhubung objek berkenaan akan dijalankan.

"Di bawah bahan letupan terdapat beberapa elemen untuk mengesahkan, jadi kita perlu hantar kepada pakar untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi.

Amihizam berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dari wanita terbabit pada jam 12.58 tengah hari.

"Setakat ini pihak polis belum mengambil keterangan wanita terbabit namun secara lisan dia memberitahu tiada musuh.

"Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut supaya kita dapat mengumpulkan bukti-bukti untuk siasatan pihak polis," katanya.

Terdahulu, Siti Kasim dalam siaran langsung facebook mendakwa keretanya diletakkan objek menyerupai bom.

Siti Kasim berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya itu ke pusat servis pada jam 12 tengah hari.

"Terdapat dua botol mineral yang disangkut di bahagian belakang tayar kereta. Ketika ini kereta masih di bengkel dan tidak dapat berbuat apa-apa.

"Saya sudah menghubungi polis menerusi panggilan 999 dan memberitahu ini adalah ancaman bom," katanya.

Susulan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) tiba di pusat servis kenderaan berkenaan bagi melakukan pemeriksaan ke atas objek yang ditemui di kereta Toyota Celica milik peguam terbabit.

Kawasan berhampiran pusat servis kenderaan turut ditutup kira-kira 100 meter kepada orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 5:11 PM