SITI Kasim. FOTO arkib NSTP
SITI Kasim. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: "Tuhan masih sayangkan I (saya) lagi. Mujur saya ubah rancangan pergi ke tempat servis kereta dahulu jika tidak mungkin perkara lebih buruk berlaku," kata peguam dan aktivis sosial, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim.

Siti Kasim berkata, beliau tidak pasti siapa yang tergamak melakukan perkara itu namun mengakui sebelum ini pernah menerima ugutan di media sosial.

"Sebelum ini pun saya pernah membuat laporan polis berhubung ugutan terbabit dan ada yang sudah ditahan polis.

"Ramai yang memuat naik komen mengugut dan ada yang ingin melihat saya mati kerana terlalu membenci saya kerana beranggapan saya anti-Islam sedangkan semua itu salah faham kerana saya menyuarakan orang politik menggunakan agama dan lain-lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, individu yang memasang bom itu memang ingin ia cepat meletup kerana meletakkan banyak bateri, tisu dan minyak di dalam botol.

"Saya juga selesai merakam keterangan kepada polis malam tadi dan berharap polis dapat segera menahan pelaku terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 Akta Letupan 1957.

"Setakat ini kes masih dalam siasatan," katanya.

Semalam, polis mengesahkan dua objek yang ditemui di bahagian bawah kereta Siti adalah alat letupan termampat (IED).

Terdahulu, Siti Kasim dalam siaran langsung Facebook mendakwa keretanya diletakkan objek menyerupai bom.

Siti Kasim berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya itu ke pusat servis pada 12 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 12:10 PM