Ridzuan Abdul Rahman


HUBUNGAN Datuk Ramli Sarip dengan anggota Sweet Charity yang dianggap sebagai keluarga sendiri sememangnya akrab.

Berita mereka kembali bergabung dalam konsert selepas kali terakhir mengadakannya 12 tahun lalu, tentunya disambut gembira peminat.

Sweet Charity akan mengubat kerinduan peminat pada Konsert Berita Gempa di Arena Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru, pada 29 Julai depan.

Ramli, 70, berkata, dia sering mempromosikan rangkaian lagu Sweet Charity dalam persembahan solo yang dijayakannya.

"Saya sering mendoakan yang baik-baik untuk semua anggota Sweet Charity setiap masa. Jadi, dengan adanya konsert ini, dapat menepis sangkaan ramai bahawa kumpulan yang diasaskan pada 1969 ini sudah terkubur.

"12 tahun dahulu kami tampil dalam Konsert Raksasa 2 bersama kumpulan Blues Gang di Stadium Merdeka dan ada sambutan ulang tahun ke-40 band ini, kami adakan konsert di Singapura.

"Saya sering jelaskan kepada semua bahawa Sweet Charity tidak pernah bubar. Saya jalan terus. Tiada istilah berehat atau merajuk, cuma sebahagian anggota Sweet Charity ada pekerjaan lain," katanya.

RAMLI berdoa semua anggota Sweet Charity diberikan kesihatan yang baik.
RAMLI berdoa semua anggota Sweet Charity diberikan kesihatan yang baik.

Menurutnya, hanya dia dan pemain gitar Rosli Mohalim yang benar-benar aktif bekerja sepenuh masa dalam industri muzik ini.

"Anggota lain yang bekerja dah tentu tidak boleh beri sepenuh masa kepada seni. Namun, mereka masih ada projek sampingan, tidak putus terus daripada dunia muzik.

"Rosli pula dengan agenda sendiri bermain muzik di kelab dan acara lain. Jadi, sebelum ini kami belum ada waktu yang bagus untuk kembali bersama. Baru sekarang kami ada kesempatan," katanya.

Menurutnya, setiap kumpulan pada era terbabit seperti Carefree, Alleycats, Flybaits dan Black Dog Bone mempunyai momen masing-masing dan ia turut dilalui Sweet Charity.

"Ada juga yang sudah kehilangan ahli seperti kami yang sudah kehilangan dua ahli, tapi hidup tetap diteruskan. Kami juga terkesan dengan kehilangan Shaikh Karim, pemain dram Blues Gang baru-baru ini kerana lahir pada era sama.

"Sweet Charity ada sejarah tersendiri. Kalau kami masih berjalan lebih 50 tahun, maknanya ia adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Kalau kita tengok sekarang pun tidak ramai kumpulan dan penyanyi sampai ke tahap itu.

"Jadi, bagi saya Sweet Charity ada peminat tersendiri. Mudah-mudahan konsert ini dapat menggabungkan peminat baharu dan lama. Mudah-mudahan nostalgia itu akan dikenang," katanya.

Selain Ramli dan Rosli, Sweet Charity turut disertai Ahmad Jaafar (AJ) dan Rahman Sarbani.

RAMLI dan Rosli harap peminat hadir menyokong konsert mereka.
RAMLI dan Rosli harap peminat hadir menyokong konsert mereka.

Tanpa berselindung, Ramli dan anggota Sweet Charity mengimpikan untuk beraksi di konsert rock opera seperti Penunggu Rock Opera, Ribut Rock Opera dan sebagainya.

"Sebelum ini saya ada berjumpa beberapa produser yang pernah membuat konsert sedemikian, namun semuanya masih dalam perbincangan.

"Jadi, saya mengharapkan doa anda dan peminat supaya semua anggota Sweet Charity diberikan kesihatan yang baik supaya dapat menyampaikan persembahan memuaskan dalam konsert ini dan konsert akan datang," katanya.

Menurutnya, antara objektif penganjuran konsert ini juga adalah untuk mengembalikan semula nostalgia yang pernah dicipta pada awal kemunculan mereka sejak lima dekad lalu.

"Sweet Charity mula ditubuhkan pada 1969 dan 10 tahun kemudian, baru kami ditawarkan membuat rakaman album.

"Kami terima tawaran mengadakan konsert bukan soal bayaran lumayan ataupun 'tribute', sebaliknya lebih kepada mahu mencipta momen bersama peminat setia.

"Menerusi konsert berdurasi lebih dua jam ini, kami mahu berkongsi perjalanan dari awal kemunculan Sweet Charity hingga hari ini," katanya.

Ramli tidak tahu kemampuan untuk mengadakan konsert berskala besar pada masa akan datang. Namun, mengakui perkara paling manis adalah setiap lagu mereka meninggalkan legasi tersendiri.

"Walaupun kami hanya merakamkan lapan album, tetapi setiap lagu meninggalkan kesan dan ada cerita tersendiri. Kami turut dimaklumkan bahawa penganjur akan menayangkan video lama Sweet Charity bagi membangkitkan elemen nostalgia yang didambakan di awal persembahan itu nanti.

"Memandangkan konsert ini menggunakan judul Berita Gempa, kami juga akan menyalurkan mesej mengenai musibah yang pernah melanda dunia seperti gempa bumi yang berlaku di Turki," katanya.

Nama konsert ini diambil daripada judul album terakhir Sweet Charity yang berjudul Berita Gempa. Konsert Berita Gempa adalah 'tribute' kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria, baru-baru ini.

Konsert Berita Gempa bakal menyaksikan Sweet Charity menyampaikan 20 lagu menerusi tiga dimensi yang berlainan.

Bagi Rosli Mohalim pula, sudah tentunya aspek kesihatan menjadi faktor utama untuknya beraksi dalam konsert ini.

"Apa yang penting ialah kesihatan, saya sebelum ini diserang angin ahmar. Alhamdulillah saya sudah sembuh 90 peratus, semoga saya dapat memberikan persembahan yang terbaik untuk konsert ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 6:00 AM