CHE Gayah menunjukkan gambar anak lelakinya, Mohd Ridzuan yang dilaporkan hilang sejak 10 tahun lalu. FOTO ihsan Normah Saleh
CHE Gayah menunjukkan gambar anak lelakinya, Mohd Ridzuan yang dilaporkan hilang sejak 10 tahun lalu. FOTO ihsan Normah Saleh
Noor Hidayah Tanzizi


Dungun: "Abang Wan, di mana? Kalau masih ada di dunia ini, pulanglah ke rumah kita. Mak sangat rindukan abang dan ayah sudah meninggal dunia dua tahun lalu," kata Normah Saleh.

Normah, 32, adalah adik kepada Mohd Ridzuan, 36, yang dilaporkan hilang sejak 10 tahun lalu selepas keluar dari rumahnya di Kuarters Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Galing, Kuantan di Pahang.

Kehilangan anggota polis berpangkat Lans Koperal itu kekal misteri sehingga kini apabila jejaknya gagal dikesan biarpun pelbagai usaha sudah dilakukan.

Normah berkata, ibu bapanya Allahyarham Saleh Ibrahim, 70, dan Che Gayah Ab Rahim, 68, sangat merindui Mohd Ridzuan yang disifatkan sebagai anak yang baik dan selalu bertanya khabar keluarga.

Menurutnya, abangnya dilaporkan hilang pada 24 April 2013 dan ketika itu sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki tetapi mereka tinggal berasingan kerana tuntutan tugas.

"Kehilangan Abang Wan memilukan hati kami sekeluarga kerana dia pergi tanpa pesan, malah kami juga baik-baik saja tiada pergaduhan atau perselisihan faham. Abang Wan anak yang baik dan dia selalu menghubungi mak dan ayah serta keluarga.

"Abang Wan hilang sehari selepas hari lahirnya dan dia keluar rumah dengan hanya membawa dompet serta telefon bimbit saja, manakala kunci motosikal dan kereta masih ada di rumah," katanya tinggal di Felda Kerteh 2, di sini, ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga dengan pelbagai bantuan termasuk polis sudah berusaha mencari Mohd Ridzuan di semua tempat, namun jejak abangnya masih gagal dikesan sehingga kini.

Katanya, justeru mereka sekeluarga buntu dengan apa yang berlaku dan mengakui tidak tahu punca sebenar kehilangan Mohd Ridzuan yang juga anak kelima daripada tujuh beradik itu.

"Kami cari di banyak tempat tetapi tak jumpa juga abang dan nombor telefon dia juga tidak dapat dihubungi, malah sudah tiada dalam perkhidmatan.

"Seorang abang saya ada memuat naik hantaran di Facebook sebelum ini kerana arwah ayah yang sedang sakit ketika itu teringin mahu jumpa abang tetapi gagal juga," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga terutama ibu bapa tidak pernah melupakan Mohd Ridzuan, malah sentiasa mendoakan lelaki itu sentiasa selamat walau di mana dia berada selain berharap abangnya akan pulang.

"Apa saja alasan abang saya harap jika Abang Wan masih hidup pulanglah ke pangkuan keluarga, mak juga masih ada tetapi sudah tak berapa sihat sangat dan sehingga kini masih sangat merindui Abang Wan.

"Tetapi andai kata umur Abang Wan tidak panjang biarlah kami tahu di mana kuburnya," katanya sambil memberitahu anak abangnya sudah berusia 11 tahun.

Pada 2015, Harian Metro pernah melaporkan kehilangan Mohd Ridzuan dan bagi orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Normah di talian 014-8268870.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 1:04 PM