Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: "Tidak sangka perubahan anak yang tidak mahu bersama dan sering menangis petanda mahu meninggalkan kami selamanya.

"Ketika itu, saya tidak memikirkan perkara buruk berlaku terhadapnya dan lebih menyedihkan, kandungan isteri berusia lima bulan juga disahkan meninggal dunia," kata Mohammad Ubaidillah Zikri Adnan, 30, bapa kepada Nur Alisha Mardiah atau lebih mesra disapa Icha berusia dua tahun yang maut dalam kemalangan, semalam.

Icha antara enam mangsa yang maut selepas dua kenderaan terbabit kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Cheneh, semalam.

Menceritakan kejadian itu, Mohammad Ubaidillah berkata, dia bersama isteri, Nurul Fatihah Azman, 28, bersama anak serta mentua, Zaiton Mohamad, 57, dan Abd Halim Ismail, 71, ke Perasing menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di rumah sepupu.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dalam perjalanan pulang ke Batu Rakit dan ia berlaku tidak jauh dalam rumah sepupu isterinya.

"Sepanjang perjalanan, anak saya tidur dan berada di tempat duduk belakang dengan ibu mentua dan isteri.

"Susulan kejadian ini, saya bukan saja kehilangan anak sulung (Nur Alisha Mardiah) dan bapa mentua (Abd Halim), malah bayi dalam kandungan berusia lima bulan turut meninggal dunia," katanya yang ditemui selepas pengebumian di sini, hari ini.

Tengah hari tadi, jenazah Nur Alisha Mardiah bersama datuknya, Abd Halim selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Polis, Batu Rakit di sini.

Mohammad Ubaidillah berkata, sebelum ini anak sulungnya itu tidak berenggang dan sangat manja dengannya apabila setiap kali pulang bercuti ke kampung.

"Anak saya seorang yang sangat manja dengan saya sebelum ini, tetapi ia berubah sikap apabila tidak mahu berenggang dengan ibunya.

"Kejadian yang berlaku ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada isterinya apabila kehilangan anak sulung dan bayi dalam kandungan sekali gus," katanya yang bekerja di Kuala Lumpur sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) manakala isteri dan anak tinggal di kampung.

Sementara itu, anak Abd Halim, Mohd Zawadi, 39, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan ayahnya pada Hari Raya pertama dan sempat beraya dengannya.

Menurutnya, ayahnya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sikapnya seperti biasa saja.

MOHAMMAD Ubaidillah memangku jenazah anaknya, Nur Alisha Mardiah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Polis. FOTO Faizul Azlan Razak
MOHAMMAD Ubaidillah memangku jenazah anaknya, Nur Alisha Mardiah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Polis. FOTO Faizul Azlan Razak

"Saya mendapat tahu kejadian daripada kakak yang memaklumkan ayah terbabit dengan kemalangan dan ketika itu tidak tahu sudah meninggal dunia.

"Sejam kemudian, baru saya dapat tahu ayah disahkan meninggal dunia. Walaupun sedih, kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Semalam, media melaporkan enam individu maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Proton Persona kira-kira 5 petang.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila salah sebuah kereta terbabit dikatakan terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan sebuah lagi kereta dari arah bertentangan.

Mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali Tuan Yah Dollah, 61; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan (dua tahun); Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23, dan Abdul Halim.

Dua lagi mangsa iaitu Nur Alisha Mardiah dan Rosliza Mat Hussin, 38, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.

di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Cheneh,

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 3:04 PM