SOFA Chesterfield tiga tempat duduk ditawarkan dengan harga tidak masuk akal serendah RM800 bagi setiap unit. FOTO Arkib NSTP
SOFA Chesterfield tiga tempat duduk ditawarkan dengan harga tidak masuk akal serendah RM800 bagi setiap unit. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Menggunakan gambar profil orang ramai untuk mencipta akaun baharu media sosial sebelum dijadikan modal dengan mereka-reka 'testimoni' sebagai tarikan sebelum memerangkap mangsa.

Itu taktik digunakan scammer yang mendakwa menjual perabot bagi meyakinkan mangsa dalam urusan pembelian kelengkapan itu terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

Penulis secara tidak sengaja terlihat sebuah iklan perabot yang dipamerkan di Instagram sebelum meninjau laman berkenaan yang pada pemerhatian awal menyedari ia mungkin scammer kerana menawarkan harga tidak masuk akal.

Ini kerana sebuah sofa Chesterfield tiga tempat duduk ditawarkan pada harga serendah RM800 serta satu set termasuk Wing Chair pula dikatakan berharga RM1,550.

Pemerhatian lanjut juga mendapati akaun berkenaan dicipta tidak kurang tiga bulan lalu, malah ada baru saja dicipta awal bulan ini selain ruangan komen juga ditutup.

Bagi melihat modus operandi kumpulan ini, penulis menghubungi mereka menerusi nombor talian dipaparkan sebelum seorang individu memberitahu ia adalah promosi sempena Ramadan dengan menyertakan pautan Telegram.

Apabila ditanya lokasi kedai, individu itu memberikan alamat di Putatan, Sabah sebelum dia memaklumkan penghantaran menerusi kargo penerbangan dalam tempoh empat hingga lima hari.

Dia berkata, harga ditawarkan mereka berpatutan berikutan promosi kilang serta memberitahu pembayaran penuh diperlukan bagi proses penghantaran.

Sangkaan penulis mereka scammer memang tepat apabila di akhir perbualan itu, dia memberikan butiran akaun milik seorang individu lelaki bukan syarikat.

Mereka juga mengambil masa agak lama iaitu kira-kira setengah hari bagi meluluskan permintaan penulis menyertai kumpulan Telegram mereka.

Menjengah ke Telegram yang mempunyai lebih 5,000 ahli, penulis mendapati beberapa individu tampil meninggalkan komen testimoni kononnya produk idaman mereka berjaya diterima bagi mengaburi orang lain bahawa kedai dan peniaga itu tulen sedangkan penulis menyedari ruangan komen ditutup.

Malah, ada kalangan mereka berlakon seolah-olah menjadi pengguna yang kali pertama berminat mahu membeli perabot dengan bertanyakan beberapa soalan klise.

Ia termasuk seperti tempoh penghantaran, harga dan sebagainya dengan laras bahasa tunggang-langgang sebelum setiap pertanyaan itu dijawab pengendali akaun itu.

Sementara itu, semakan penulis di media sosial mendapati puluhan hantaran dibuat individu berlainan mendedahkan menjadi mangsa penipuan pembelian perabot dan mereka meminta supaya pengguna lain agar lebih berwaspada.

Rugi RM2,750 kerana nak tukar sofa baharu

Impian Maheran Hassan, 46, untuk menukar perabot baharu menjadi igauan ngeri apabila dia kerugian RM2,750 selepas menjadi mangsa penipuan dalam pembelian perabot secara dalam talian.

Menceritakan pengalamannya, Maheran berkata, dia mengakui terpedaya dengan testimoni palsu ditunjukkan peniaga sehingga membuat dua kali transaksi kepada scammer pada 2 April lalu.

"Saya tertarik untuk membeli set sofa Chesterfield yang ditawarkan pada harga RM1,500 kerana sudah 12 tahun tidak berganti perabot.

"Scammer menawarkan produk itu menerusi iklan dalam Telegram dan Instagram (IG) lalu saya berurusan dengannya menerusi WhatsApp.

"Pada mulanya saya sangsi juga tetapi apabila dia menunjukkan 'testimoni' pelanggan terdahulu menyebabkan saya pun percaya dan membuat transaksi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pekerja swasta itu berkata, selepas membuat transaksi kali pertama berjumlah RM1,500, dia kemudian diminta untuk menjelaskan bayaran RM1,250 sebagai jaminan insuran penghantaran dan jaminan lima tahun.

"Scammer itu kata RM1,250 untuk mengaktifkan 'smart card' iaitu insuran penghantaran dan jaminan yang kononnya akan dipulangkan dalam akaun semula.

"Namun, selepas transaksi kedua, dia sekali lagi meminta wang tambahan RM1,750 dengan alasan kad berkenaan tidak boleh diaktifkan membuatkan hati saya terdetik dia adalah scammer.

"Telahan saya tepat selepas berkeras dengannya termasuk mahu membuat laporan polis sebelum talian telefon saya akhirnya disekat," katanya.

Katanya, enggan terus mengalah, dia tidak berputus asa menghubungi scammer berkenaan menerusi nombor talian lain, namun turut disekat.

"Selepas menyedari saya menjadi mangsa penipuan, saya segera melaporkan laman Facebook dan IG milik scammer berkenaan kepada pihak berkaitan.

"Hingga kini, scammer itu masih aktif dengan menggunakan nombor telefon sama, namun berlainan akaun media sosial, malah mereka bergerak secara berkumpulan termasuk mereka-reka testimoni itu," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya, kejadian itu memberikan pengajaran berguna kepadanya supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga murah terutama pembelian secara dalam talian.

"Saya serik. Kalau kita hendak beli apa-apa produk secara dalam talian berhati-hatilah, kalau harga mencecah ribuan, lebih baik pergi ke kedai fizikal.

"Disebabkan gelap mata dengan harga tak masuk akal (murah) itu, saya terpedaya hingga tidak perasan membuat transaksi kepada akaun peribadi scammer sedangkan ia sepatutnya kepada akaun syarikat.

"Malah, daripada susunan ayat dan loghat bahasanya juga sebenarnya kita boleh kesan mereka bukan penjual tulen apatah lagi memaksa kita membuat transaksi seberapa segera," katanya.

Sementara itu, mangsa lain dikenali sebagai Izz, 31, berkata, dia kerugian hampir RM2,000 selepas terpedaya dengan scammer yang menawarkan promosi pembelian perabot sempena Aidilfitri.

"Saya tertarik untuk pembelian kombo set meja makan dan Wing Chair pada harga RM1,800 sebelum membuat bayaran kepada akaun seorang individu.

"Katanya, itu akaun bos dia, jadi saya pun percaya bulat-bulat apatah lagi dia janji akan menghantar barangan itu dalam tempoh lima hari.

"Kemudian pada hari dijanjikan saya menghubungi orang itu, namun saya dapati WhatsApp dan IG saya disekat selain laman media sosial kedai itu juga tidak boleh meninggalkan komen.

"Saya agak terkilan dan tidak sangka ada orang sanggup menipu pada bulan mulia ini apatah lagi individu itu mungkin orang Islam kerana memberikan salam," katanya.

Kawal selia lesen pengusaha

Kewujudan sebuah agensi atau badan yang mengawal selia lesen pengusaha kedai perabot amat perlu bagi membendung isu penipuan dalam pembelian perabot terutama secara dalam talian.

Presiden Persatuan Pengusaha Kayu Kayan dan Perabot Bumiputera Malaysia (Peka), Farosham Naizamohideen berkata, pada masa ini lesen perniagaan kedai perabot tertakluk di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita harap kerajaan dapat menguatkuasakan lesen kedai perabot ini di bawah agensi berkaitan bagi memastikan hak pengusaha dan pengguna terbela.

"Peka mengambil serius dan amat kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab apabila mengambil kesempatan khususnya pada musim perayaan," katanya.

Beliau mengulas isu penipuan pembelian kelengkapan perabot yang semakin berleluasa terutama menjelang musim perayaan termasuk Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Farosham berkata, penipuan ini memberikan impak negatif kepada industri dan menyebabkan pengusaha menerima tekanan daripada pelanggan yang menggunakan harga tidak munasabah dengan merujuk harga ditawarkan scammer.

HARGA sofa bergantung kepada reka bentuk, bahan dan kualiti produk dari RM2,000 ke atas. FOTO Arkib NSTP
HARGA sofa bergantung kepada reka bentuk, bahan dan kualiti produk dari RM2,000 ke atas. FOTO Arkib NSTP

"Setakat ini, kita menerima kurang 10 aduan daripada anggota Peka yang mana kebanyakannya gambar produk mereka diguna pakai scammer untuk iklan dan meyakinkan orang ramai di media sosial.

"Kebanyakan scammer ini bukan warga Malaysia dan kami mahu tindakan tegas diambil pihak berkuasa untuk menangani isu ini bagi mengelak lebih ramai pembeli tertipu," katanya.

Katanya, pihaknya turut memerangi isu scammer perabot dengan mengambil inisiatif termasuk mengadakan kempen kesedaran antaranya Product Spotlight yang memperkenalkan syarikat sah dan berdaftar di bawah persatuan.

"Pembeli boleh menyemak maklumat di laman sesawang www.pekaogrm.com terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan syarikat atau pengusaha.

"Mereka juga dinasihatkan supaya lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran tidak munasabah ditawarkan menerusi iklan jualan perabot di laman sosial," katanya.

Untuk rekod, harga sofa bergantung kepada reka bentuk, bahan dan kualiti produk dari RM2,000 ke atas manakala jenis Chesterfield pula kira-kira RM3,000 ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 12:30 PM