PEMILIK Riverview Homestay, Datuk Ja’apar Mansor terpaksa membuang perabot di rumah inap desanya akibat banjir. FOTO Bernama
PEMILIK Riverview Homestay, Datuk Ja’apar Mansor terpaksa membuang perabot di rumah inap desanya akibat banjir. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran promosi perabot murah yang banyak diiklankan di platform media sosial berikutan ia hanya satu perangkap.

Presiden Persatuan Pengusaha Kayu Kayan dan Perabot Bumiputera Malaysia (PEKA), Farosham Naizamohideen berkata, pihaknya menyedari taktik penipuan itu berikutan harga ditawarkan tidak munasabah.

"Kita agak kecewa dan sedih dengan isu ini. Ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi mengambil kesempatan ke atas mangsa banjir yang sedang susah diuji bencana ini.

"Saya sendiri ada melihat iklan meragukan ini dan cuba menghubungi beberapa individu terutama mereka yang menyebarkan iklan ini, namun agak sukar mengesan pelakunya kerana mereka menggunakan ejen bukan kilang.

"Jika kita tahu kilangnya mana, mudah untuk kita buat siasatan lanjut kerana harga ditawarkan tidak masuk akal contohnya harga pasaran sofa Chesterfield 3+2+1 ialah antara RM3,000 hingga RM5,000, namun iklan itu menawarkan RM1,000 sedangkan kos membuatnya pun tidak dapat macam itu," katanya kepada Harian Metro.

PRESIDEN PEKA, Farosham Naizamohideen. FOTO ihsan Farosham Naizamohideen
PRESIDEN PEKA, Farosham Naizamohideen. FOTO ihsan Farosham Naizamohideen

Beliau mengulas berhubung kes penipuan iklan perabot di media sosial yang mensasarkan golongan mangsa banjir.

Mengulas lanjut isu itu katanya, pengguna digalakkan membeli perabot di kedai fizikal serta membuat semakan terlebih dulu sebelum berurusan dengan mana-mana pihak yang mendakwa menawarkan khidmat jualan alat kelengkapan rumah itu terutama di media sosial.

"Kita nasihatkan masyarakat lebih berwaspada dengan penipuan ini terutama mereka yang menyebarkan iklan jualan murah seumpama ini supaya menyemak dulu maklumat perabot dan sumbernya dari mana kerana walaupun niat mereka cuma berkongsi iklan murah, namun secara tidak langsung mereka 'membantu' promosikan penipuan ini.

"Pada masa sama, jika melihat sebarang iklan meragukan laporkan segera kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya penyebaran iklan seperti ini dapat disekat.

"Selain itu, kita juga berharap Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) mengeluarkan lesen kepada kedai perabot supaya dapat membendung aktiviti penipuan seumpama ini pada masa akan datang memandangkan ketika ini kedai perabot hanya mendapat pelesenan di bawah pihak berkuasa tempatan saja," katanya.

Baru-baru ini media melaporkan, mangsa banjir mendedahkan diperdaya tawaran iklan murah perabot yang menghilangkan diri sebaik saja transaksi pembayaran dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 1:07 PM