KES perceraian membabitkan isu raya balik kampung siapa menyumbang kepada 10 kes daripada setiap 50 kes perceraian.
KES perceraian membabitkan isu raya balik kampung siapa menyumbang kepada 10 kes daripada setiap 50 kes perceraian.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: "Saya anak sulung, suami pula anak emak, kedua-dua keluarga mengharapkan saya atau suami ada ketika 1 Syawal nanti.

"Keluarga saya hanya mengharapkan saya kerana saya anak sulung untuk uruskan persiapan akhir sebelum Syawal, manakala ibu mentua mengharapkan suami balik, kerana suami anak bongsu dalam keluarga."

Demikian luah Erlina (bukan nama sebenar), 26, yang menghadapi konflik balik raya dan ini adalah tahun pertamanya bersama suami selepas mendirikan rumah tangga sekitar Jun tahun lalu.

Menceritakan lanjut, wanita itu berkata, dia dan suaminya sudah banyak kali bertengkar berhubung isu balik kampung ini dan sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

"Suami ada mencadangkan kepada saya supaya kami beraya secara berasingan iaitu saya balik ke kampung saya manakala suami balik ke rumah ibunya, namun saya menolaknya.

"Ini tahun pertama kami berkahwin, sudah pasti saya mahu beraya bersama-sama suami cuma dalam isu lain, saya tidak boleh bertolak ansur kerana saya anak sulung, keluarga mengharapkan saya.

"Adik-adik saya yang lain pula masih belajar, takkan mahu mengharapkan mereka untuk buat persiapan semuanya," katanya.

Katanya, dia hanya mengharapkan suaminya memahami keadaan dan boleh bertolak ansur dalam isu ini.

Menurutnya, jika tiada persetujuan dapat dicapai, mungkin dia dan suami akan beraya di rumah mereka di ibu kota saja.

Sementara itu, bagi seorang lagi wanita bergelar isteri yang mahu dikenali sebagai Anna (bukan nama sebenar), 30, konflik utama untuk balik ke kampung siapa adalah soal wang ringgit.

"Jika balik ke rumah dia (suami), semua perbelanjaan daripada selenggara kereta sehingga kepada beli barangan basah di pasar terpaksa ditanggung oleh suami.

"Akibatnya, suami akan meminjam wang saya kerana tidak cukup, selama empat tahun kami berkahwin, tidak pernah sekali pun menyambut 1 Syawal di kampung saya.

"Saya hanya dapat pulang ke kampung pada 4 Syawal dan ketika itu boleh kata semua adik beradik saya sudah pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu mengungkit setiap pemberian kepada semua namun cukuplah kalau suami bertolak ansur dan boleh bergilir-gilir.

"Setiap kali menjelang Syawal, memang kami akan bertengkar teruk, kadang-kadang saya malas peduli cuma rasa sakit hati apabila tidak dihargai sewajarnya walaupun sudah banyak berkorban," katanya.

Nampak remeh tapi tetap sumbang statistik perceraian

Pergolakan rumah tangga bukan hanya disebabkan 'orang ketiga' atau bebanan wang ringgit, sebaliknya konflik 'raya balik kampung siapa' turut menyumbang kepada perceraian.

Akibatnya, menurut Pakar Kaunseling Keluarga Hushim Salleh, kes perceraian membabitkan isu raya balik kampung siapa ini menyumbang kepada 10 kes daripada setiap 50 kes perceraian.

Kata Hushim, walaupun, isu berkenaan dilihat terlalu remeh untuk membawa kepada konflik perceraian, namun wujud pasangan suami isteri yang mendapatkan khidmat kaunseling berikutan konflik berkenaan.

Pada masa sama, kata beliau, rasa ego dalam diri pasangan kerana tidak mahu mengalah berkaitan balik ke kampung siapa turut menjadikan isu itu lebih mencabar seterusnya membawa kepada perceraian.

"Konflik ini selalunya membabitkan pasangan yang baru berkahwin atau pasangan yang mempunyai komitmen keluarga yang tinggi seperti si suami atau isteri adalah anak sulung, anak tunggal dan sebagainya.

"Konflik balik kampung ini nampak macam remeh cuma jika tidak ditangani dengan baik, ia akan membawa kepada ketidaksefahaman dalam rumah tangga sehingga kepada perceraian.

"Perceraian ini boleh berlaku akibat satu pihak lagi memendam rasa kerana tidak berpuas hati dan dalam jangka panjang, akan timbul ungkit mengungkit sehingga perbalahan yang membawa kepada peleraian perkahwinan.

"Keadaan ini berlaku kerana tiada atau kurang sikap tolak ansur dalam perkahwinan, masing-masing mahu berada di pihak yang untung sedangkan perlu juga bertimbang rasa dalam isu balik kampung ini," katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Hushim yang juga kaunselor berdaftar serta mempunyai klinik kaunseling keluarga mengakui ada menerima beberapa kes rumah tangga yang berantakan kerana isu balik kampung untuk tempoh ini saja.

"Selepas dua atau tiga tahun kita tidak boleh beraya, tahun ini lebih 'hebat' cabarannya dan saya sendiri, berdepan beberapa kes ini di klinik kaunseling saya kerana masing-masing berebut untuk pulang beraya di kampung sendiri.

"Bagi konflik balik kampung, perceraian itu tidak berlaku pada waktu itu juga sebaliknya ia menjadi 'barah' dalam rumah tangga serta merebak sedikit demi sedikit sehingga menghilangkan keharmonian rumah tangga itu sendiri.

"Apa yang saya perhatikan, pasangan yang tidak berpuas hati akan sering mengungkit daripada isu balik kampung sehinggalah kepada nafkah wang ringgit, perbelanjaan dan fasa kritikal berakhir dengan perceraian," katanya.

Hushim berkata, apabila menjalani sesi kaunseling dengan pasangan bermasalah ini, kebanyakan alasan perceraian yang digunakan selain daripada isu balik kampung adalah perbelanjaan.

"Ada pasangan yang datang mendapatkan kaunseling di klinik saya mengakui bahawa jika balik ke rumah isterinya, segala kos perjalanan hendaklah dibayar oleh pasangan itu kerana 'bukan kerelaan' untuk balik ke kampung isteri.

"Kos perjalanan seperti selenggara kenderaan, minyak, tol, perbelanjaan anak-anak sepanjang perjalanan pasangan ini dibayar oleh wanita berkenaan sebagai tanda protes si suami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 12:00 PM