ROSNANI menunjukkan gambar anak bongsunya, Ahmad Fadhlullah yang lemas di Pantai Kemayan. FOTO Nor Amalina Alias
ROSNANI menunjukkan gambar anak bongsunya, Ahmad Fadhlullah yang lemas di Pantai Kemayan. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina

Bachok: Dia baru saja kematian suami enam bulan lalu dan kini sekali lagi diuji kehilangan anak bongsu dalam kejadian lemas di Pantai Kemayan, di sini.

Rosnani Mohd Salleh, 60, berkata, arwah suami, Mohamad Umar, 63, meninggal dunia akibat angin ahmar, September lalu dan kini melalui detik kehilangan anak lelakinya, Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12, yang mayatnya ditemukan orang awam jam 1.40 tengah hari tadi.

Rosnani berkata, dia bersama 20 ahli keluarga terdiri daripada anak-anak dan cucu bercuti di Pantai Kemayan dan sepatutnya pulang petang semalam.

"Tapi pagi tu, masa saya dan anak tengah berpimpin tangan di pesisir pantai, anak saudara (Muhammad Nabil Irfaan Ismail Mokhtar, 11) terjatuh di benteng batu menjerit meminta tolong.

"Anak (Fadhlullah) terus melepaskan tangan saya dan sekelip mata terjun nak selamatkan Nabil," katanya ketika ditemui di Pantai Kemayan, di sini, hari ini.

Rosnani berkata, turut cuba menyelamatkan Nabil adalah anak perempuannya, Nurul Afiqah Mohamad, 19.

Katanya, kerana ombak kuat, kedua mereka turut tenggelam bersama Nabil namun tindakan pantas beberapa ahli keluarga yang lain sempat menarik Nabil dan Afiqah ke daratan.

"Salah seorang anak beritahu, dia sempat nampak Fadhlullah dan Afiqah berpegangan tangan dalam air, namun bila nak selamatkan hanya Afiqah yang timbul manakala Fadhlullah hilang," katanya.

Rosnani berkata, Fadhlullah yang mesra dipanggil Pokdik turut menunjukkan sikap pelik apabila kerap memeluk dan mencium ibu dan adik-beradik lain sepanjang bercuti.

Katanya, anak bongsu daripada 18 beradik itu tinggal bersama anak sulungnya di Kluang, Johor kerana belajar tahfiz dan hanya pulang dua atau tiga kali setahun ke Kelantan.

"Kali ini dia baru saja balik empat hari untuk bersama saya, tapi saya reda dengan kejadian, ini semua kuasa Allah SWT," katanya.

Dia yang tinggal di Kampung Padang Enggang berkata, anak saudaranya, Nabil juga menangis kerana rasa bersalah atas kejadian namun sudah dipujuk ahli keluarga untuk menerima ketentuan Ilahi.

Keadaan Nurul Afiqah pula sudah semakin stabil dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab HRPZ II (HRPZ II) Kota Bharu.

Mayat kanak-kanak itu dijumpai orang awam di Pantai Senok, kira-kira lima kilometer daripada lokasi mangsa jatuh di Pantai Kemayan, Bachok.

Jenazah dibawa ke HRPZII untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 4:06 PM