KESABARAN dan kesungguhan Shiha berjuang berbaloi apabila kejayaan demi kejayaan diraih dalam bidang seni.
KESABARAN dan kesungguhan Shiha berjuang berbaloi apabila kejayaan demi kejayaan diraih dalam bidang seni.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Selama 13 tahun perjuangannya sebagai anak seni, Shiha Zikir, 36, tidak pernah mengalah dan meletakkan noktah dalam kariernya.

Walaupun mengakui ada ketikanya agak 'down', ia bukan bermaksud Shiha patah semangat untuk terus mengejar kejayaan.

"Kenyataan ini dilihat dari segi mungkin saya nakkan sesuatu kejayaan, tapi belum lagi ada rezeki. Jadi, saya kena perbaiki keadaan dan buat lagi baik.

"Tapi, kalau dari segi kata-kata orang, ia tak buat saya 'down'. Saya dah laluinya lepas Mentor lagi dan lama-kelamaan dah lali.

"Komen netizen pula bukan semuanya negatif. Ada juga betulnya, tapi cara penyampaian mereka sahaja yang tak betul. Saya terima saja walaupun negatif atau positif," katanya.

Kesabaran dan kesungguhan Shiha berjuang berbaloi apabila kejayaan demi kejayaan diraih dalam bidang seni.

Terbaharu dia melakar sejarah apabila diumumkan pemenang Persembahan Terbaik menerusi lagu Irama di Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad lalu.

Kejayaan ini membolehkan dia meraih hadiah kemenangan bernilai RM12,000.

"Apa yang saya boleh katakan itu adalah kepuasan buat saya apabila dapat Persembahan Terbaik AJL37 kerana saya dan 'team' bertungkus-lumus realisasikan perancangan yang nak dibuat atas pentas.

PERSEMBAHAN hebat Shiha yang menobatkannya sebagai pemenang Persembahan Terbaik AJL 37.
PERSEMBAHAN hebat Shiha yang menobatkannya sebagai pemenang Persembahan Terbaik AJL 37.

"Kos yang dikeluarkan ialah lebih RM100,000. Ramai tanya saya kenapa saya buat? Jawapannya itu kepuasan atas pentas biarpun hadiah RM12,000 seakan-akan tak balik modal.

"Itu Shiha Zikir dan 'team'. Kami tak fikir pun fasal hadiah kemenangan sebaliknya nak buat yang terbaik setiap kali dapat berada di pentas berprestij ini," katanya.

Menurutnya, paling utama ialah impian untuk beraksi di Axiata Arena sudah tercapai.

"Saya sangat bersyukur kerana nak dibandingkan dengan peminat artis lain yang bertanding, memang saya kalah.

"Namun, walaupun sedar saya kekurangan dari segi peminat, tapi dengan kemenangan ini menjadi bukti yang peminat muzik negara hargai dengan apa yang disampaikan.

"Saya tak akan berubah dan tak lokek untuk buat yang terbaik sebab minat yang mendalam dalam seni," katanya.

Shiha berkata, tuahnya mungkin tidak seperti artis lain yang ada kalanya baru setahun masuk dalam industri terus meletup.

"Tapi, benda ini tak jadi isu kerana saya bukan gila populariti. Kalau saya gila populariti, awal-awal lagi saya tarik diri kerana kecewa dengan industri.

"Tak pernah wujud perkataan putus asa atau saya 'struggle'. Saya gembira melalui proses ini kerana masih berada dalam arus utama walaupun mungkin tak macam orang lain.

AKAN tampil dengan single terbaharu berjudul Qalam.
AKAN tampil dengan single terbaharu berjudul Qalam.

"Tak dinafikan ada artis juga artis yang makan masa lebih lama dari yang saya ada sekarang," katanya.

Selepas ini dia akan tampil dengan single Qalam yang turut disasarkan untuk mara ke pentas AJL 38 pula.

"Saya bertekad kalau berjaya ke AJL saya akan buat lebih lagi. Konsep lagunya tradisional fusion dan hasil kombinasi mereka yang terbabit dalam lagu Irama.

"Liriknya berdasarkan apa yang dilalui dalam industri. Qalam bermaksud kata-kata. Ia menyorot isu orang cakap belakang, kutuk macam-macam, tapi saya tak endahkan.

"Qalam ini macam nak motivasi orang supaya jaga kata-kata kita. Bagi saya isu ini perlu diberi tumpuan supaya semua pihak berhati-hati sebelum bercakap dari segi kawan-kawan dan netizen sendiri," katanya.

Shiha yang sudah tamat kontrak dengan Todak Music, kini fokus dengan syarikatnya, Shiha Zikir Empayar Holding Sdn Bhd serta penganjur acara.

Dia kini sudah menerbitkan album pertama bersama rakan kongsi dan akan membuka restoran Shiha Zikir Nasi Ayam di Kampung Baru tidak lama lagi.

Dia yang turut mempunyai produk kecantikan sendiri, juga akan mencari penyanyi baru sebagai pelapis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 6:00 AM