IZUBIELA Zaffmarekan yang disangka hantu.
IZUBIELA Zaffmarekan yang disangka hantu.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Rancangan asalnya merakam video sekadar untuk 'bergurau' dengan orang ramai, namun pempengaruh media sosial ini tidak menyangka dia yang 'terkena'.

Semuanya selepas ada pihak memuat naik video prank Izubiela Zaffmarekan di media sosial yang disangka hantu berikutan kulit wajahnya yang putih melepak.

Wanita itu memberitahu dia merakam video sosial eksperimen gurauan dengan duduk sendirian dan memakai baju gelap di sebuah hentian bas di Shah Alam, baru-baru ini.

Katanya, pasukannya ketika itu mahu 'mengusik' orang ramai dan melihat reaksi mereka di hentian bas itu termasuk seorang lelaki dikenali Amirul.

"Saya tidak tahu pula 'mangsa' bernama Amirul itu berkongsi video kejadian di akaun TikTok yang popular dengan perkara-perkara misteri, hingga ia tular di media sosial.

"Sebelum Amirul, ada beberapa mangsa termasuk dua wanita. Selepas selesai sahaja rakaman, kru kami mendekati mereka dan memberitahu ia sekadar prank," katanya.

Izubiela yang juga usahawan produk pemutihan, Putih Gebu Izubiela mengakui video itu menyebabkan segala perancangannya untuk content media sosial terganggu, namun dia tidak menyalahkan sesiapa, bahkan terhibur dengan komen yang ditinggalkan warganet.

"Saya tergelak membaca pelbagai komen mengenai rakaman tular itu. Ada yang mengatakan saya hantu putih melepak, ada yang mengatakan saya bunian dan macam-macam lagi," katanya.

Video tular itu meraih lebih 830,000 tontonan.

Sebelum ini, Izubiela pernah tular selepas video nyanyiannya mendapat reaksi YouTuber antarabangsa, Nephi Axe dan dipuji kerana berkebolehan menyanyi.

Katanya, komen itu menaikkan semangatnya untuk menceburi dunia nyanyian dan kini tampil dengan single, Biasa Dia bersama Cat Farish.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 3:12 PM