Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Baru sebulan menerima kunci, sudah banyak unit kediaman di Blok A Taman Nagasari, Prai, di sini dijadikan rumah sewa dan asrama pekerja warga asing sekali gus menimbulkan ketidakselesaan warga tempatan.

Wakil penduduk, Amirul Adli Ahmad, 28, berkata dia yang menunggu hampir lima tahun untuk membeli rumah di bawah kerajaan negeri itu bersyukur akhirnya mendapat kunci pada pertengahan tahun lalu.

Katanya, tetapi apa yang mengecewakan rumah yang sepatutnya tidak boleh disewakan kini turut dijadikan asrama pekerja warga asing bahkan siap terdapat pengimbas kod QR MySejahtera.

"Penduduk amat membantah perkara ini tambahan pula rumah ini terlalu elok kerana baru sebulan kami dapat kunci.

"Namun sudah dimasuki warga asing yang sekali gus dibimbangi mengancam keselamatan keluarga jika tidak dibendung segera," katanya ketika membuat bantahan aman di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung selepas menerima aduan daripada penduduk supaya perkara itu diambil tindakan segera.

Difahamkan, kira-kira 10 daripada 150 unit pangsapuri kos rendah di blok itu dihuni oleh warga tempatan, manakala sebahagian besar penghuni yang lain belum berbuat demikian.

Penduduk pangsapuri Blok A, Taman Nagasari, Prai membuat bantahan berhubung unit kediaman yang disewa kepada warga asing. FOTO Nur Izzati Mohamad
Penduduk pangsapuri Blok A, Taman Nagasari, Prai membuat bantahan berhubung unit kediaman yang disewa kepada warga asing. FOTO Nur Izzati Mohamad

Bagaimanapun, menurut penduduk, jumlah warga asing yang menyewa dikatakan lebih ramai iaitu membabitkan kira-kira 20 unit dan ada yang tinggal lebih awal di situ berbanding penghuni yang layak.

Amirul Adli berkata, dia juga dimaklumkan ada warga asing yang menyewa untuk dijadikan kedai runcit apabila terdapat peralatan berniaga mula dibawa masuk unit di bahagian bawah pangsapuri itu.

"Kegiatan komersial sama sekali tidak dibenarkan di blok ini dan kami hairan bagaimana terlalu mudah sekali mereka (warga asing) berbuat demikian," katanya.

Dalam pada itu, Amirul Adli berkata, dia dan penduduk di sini mahu isu terbabit diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak lebih ramai warga asing tinggal hingga keadaan menjadi tidak terkawal seperti di beberapa kawasan pangsapuri lain di negeri ini.

"Selepas dikawal dan tiada warga asing, kami penduduk di sini mahu membuat kad akses bagi mengawal mereka yang keluar masuk ke blok ini," katanya.

Sementara itu, Hsiao Leung berkata, isu salah guna unit kediaman untuk disewa kepada warga asing tidak seharusnya berlaku kerana pangsapuri itu menetapkan syarat bahawa ia hanya dikhususkan kepada penduduk tempatan yang berpendapatan rendah serta belum memiliki rumah sendiri.

"Untuk aduan ini, saya telah menulis surat kepada Exco Perumahan (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.

"Kita berharap isu ini mendapat perhatian kerajaan negeri dan pihak berkaitan perlu menyiasat perkara ini untuk mengambil tindakan dengan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 3:08 PM