AKSI Robert ketika memanjat bangunan Tour TotalEnergies di Perancis. FOTO Reuters
AKSI Robert ketika memanjat bangunan Tour TotalEnergies di Perancis. FOTO Reuters
Agensi

Paris: Seorang lelaki mendapat jolokan 'Spiderman Perancis' apabila memanjat 48 tingkat bangunan sempena sambutan 60 tahun kelahirannya.

Alain Robert memanjat bangunan Tour TotalEnergies setinggi 187 meter, Sabtu lalu dengan memakai pakaian berwarna merah.

Dia mengangkat tangannya ketika berjaya sampai ke puncak bangunan pencakar langit di daerah perniagaan, La Defense di ibu negara Perancis itu.

Dia melakukan aksi berani itu tanpa tali pinggang, dengan memakai sepasang kasut untuk memanjat dan membawa beg mengandungi serbuk kapur untuk mengelap peluh.

AKSI Robert ketika memanjat bangunan Tour TotalEnergies di Perancis. FOTO Reuters
AKSI Robert ketika memanjat bangunan Tour TotalEnergies di Perancis. FOTO Reuters

Robert berkata, dia mahu memberi mesej kepada orang ramai, usia sepertinya hanyalah sekadar nombor, dan masih bebas bersukan, aktif dan melakukan perkara menakjubkan.

"Beberapa tahun lalu, saya berjanji kepada diri sendiri, apabila mencapai umur 60 tahun, saya akan memanjat menara itu kerana 60 tahun menandakan umur persaraan di Perancis dan saya fikir ini masa sesuai," katanya.

Katanya, dia juga akan menggunakan pendekatan itu dalam meningkatkan tahap kesedaran tentang keperluan bertindak dalam perubahan iklim.

Alain Robert. FOTO AP
Alain Robert. FOTO AP

Robert mula memanjat pada tahun 1975 selepas berlatih di tebing berhampiran kampung halamannya di Valence, selatan Perancis.

Dia melakukan pendakian solo pada tahun 1977 dan dengan pantas menjadi pendaki terbaik.

Sejak itu, dia memanjat lebih 150 struktur tinggi di seluruh dunia termasuk Burj Khalifa Dubai, Menara Eiffel dan Jambatan Golden Gate di San Francisco.

Malangnya, akibat memanjat tanpa kebenaran dia kerap ditangkap serta pada 2018, dia dilarang memanjat mana-mana bangunan di United Kingdom (UK) selepas memanjat Menara Heron atau kini dikenali sebagai Menara Salesforce tanpa peralatan keselamatan.

Bapa kepada tiga anak itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret City of London kerana menyebabkan kacau ganggu awam.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 20 minggu yang digantung pelaksanaannya selama dua tahun, diperintahkan membayar pampasan 5,500 Pound Sterling (RM28,502.79) dan dilarang memanjat bahagian luar mana-mana bangunan di UK.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 12:22 PM