ALLAHYARHAM Faizi. FOTO ihsan pembaca
ALLAHYARHAM Faizi. FOTO ihsan pembaca
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Lelaki yang popular di Negeri Sembilan dengan tagline 'On X On', maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Telok Kemang di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kemalangan berlaku pada jam 4.57 petang semalam.

"Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Bezza, Perodua Aruz dan motosikal Honda C100 milik mangsa Faizi Azmi yang juga dikenali dengan nama 'Mail' atau 'On X On'.

"Siasatan awal pihak polis mendapati apabila kereta yang dipandu seorang anggota tentera dari arah Sua Betong dalam perjalanan ke rumahnya di Kem Gerison, SiRusa dan tidak sempat membrek kenderaan sebaik keluar dari simpang arah Teluk Kemang lalu terlanggar sebelah kanan motosikal mangsa.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa yang berusia 47 tahun melambung dan terjatuh di bahagian bumber hadapan Perodua Bezza sebelum terjatuh di jalan raya," katanya dalam kenyataan media di sini tadi.

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa yang tidak sedarkan diri di bawa ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan kecemasan.

"Pihak hospital memaklumkan, mangsa yang popular dengan tagline 'On X On' sudah menghembuskan nafas terakhir jam 8.38 malam tadi.

"Beliau sangat dikenali dengan nama Acek Mail juga sering memuatnaik video pendek di media sosial dengan tagline 'On X On'," katanya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 10:36 AM