PERUBAHAN struktur ekonomi yang lebih mencipta peluang pekerjaan mahir dan gaji yang lebih tinggi diperlukan bagi meningkatkan penyertaan golongan muda ke dalam sektor ekonomi formal.
PERUBAHAN struktur ekonomi yang lebih mencipta peluang pekerjaan mahir dan gaji yang lebih tinggi diperlukan bagi meningkatkan penyertaan golongan muda ke dalam sektor ekonomi formal.

Golongan muda selaku tunjang pembangunan negara masa depan kini ramai yang bergelut dengan masalah pekerjaan, ekonomi dan pelbagai lagi.

Pada masa sama, pendapatan golongan ini juga perlu diambil kira dalam usaha mereka menaik taraf diri dan pelbagai lagi.

Bagaimana jika sebahagian besar golongan ini terus gagal untuk menaik taraf diri? Adakah ketidakmampuan itu akhirnya akan menyebabkan mereka ketinggalan?

Ikuti wawancara pensyarah Universiti Putra Malaysia yang kini berkhidmat sebagai Ketua Ekonomi Buruh di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) PROF MADYA DR MOHD YUSOF SAARI bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengulas isu ini.

Golongan muda kini ramai yang setakat 'mahu bekerja' saja namun tidak lihat perkara yang lebih luas seperti masa depan. Kerana itu, ada yang bekerja untuk tempoh beberapa bulan sebelum berhenti dan 'melompat'
ke pekerjaan lain. Komen?

Pada pandangan saya, faktor permintaan terutamanya gaji dan persekitaran pekerjaan dan faktor penawaran terutamanya kualiti modal insan golongan muda menyumbang kepada keadaan pusing ganti yang tinggi.

Daripada perspektif faktor permintaan, gaji yang lebih menarik dan persekitaran pekerjaan yang kondusif menjadi faktor yang menyumbang kepada situasi pusing ganti yang tinggi dalam kalangan golongan muda.

Selain itu, saya difahamkan, ada segelintir agensi pekerjaan yang membuat perjanjian dengan pekerja untuk berpindah ke tempat lain selepas beberapa bulan bagi menjana pendapatan kepada agensi terbabit.

Faktor penawaran pula, kualiti output yang dikeluarkan oleh pusat pengajian dan latihan perlu juga diberikan perhatian.

Sebahagian besar pekerja tidak mempunyai maklumat tentang industri dan pekerjaan semasa mereka di pusat pengajian.

Jurang antara pusat pengajian dan industri perlu dirapatkan agar golongan muda benar-benar faham berkenaan dengan aspek pekerjaan.

Peranan keluarga juga penting dalam mendidik golongan muda agar lebih bersedia menghadapi realiti pekerjaan dan menjadikan mereka lebih mampan kepada kehidupan.

Jika kedua-dua perkara (sisi permintaan dan penawaran) ini tidak diperbetulkan, peluang ekonomi golongan muda akan diambil alih oleh pekerja asing.

Perkara ini sedang berlaku pada ketika ini.


Kajian dapati sebahagian besar golongan muda memperoleh pendapatan kurang RM2,000 sebulan. Jika diukur, tidak cukup untuk menaik taraf diri sendiri?

Dalam ekonomi, gaji adalah faktor utama yang menentukan pemilihan sesuatu pekerjaan.

Tahap gaji ideal yang mencukupi bagi menampung keperluan taraf hidup yang tinggi penting untuk memastikan ekonomi sentiasa disokong oleh perbelanjaan penggunaan.

Perbelanjaan penggunaan yang lebih tinggi (rendah) menunjukkan taraf hidup yang lebih baik (rendah) seterusnya dapat menggalakkan (menghalang) pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang.

Memiliki pendapatan yang mencukupi penting bagi isi rumah untuk kestabilan kewangan.

Jurang antara pendapatan dengan perbelanjaan menunjukkan ketidakcukupan sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan isi rumah dan sekuriti kewangan.

Analisis yang dibuat oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) dan Kementerian Kewangan Malaysia mendapati 51.2 peratus isi rumah menerima kurang daripada RM6,000 sebulan dengan 79.7 peratus daripadanya mengalami ketidakseimbangan kewangan kerana bahagian perbelanjaan lebih besar berbanding pendapatan.

Penilaian empirikal juga mendapati bahawa kewujudan pekerjaan bergaji rendah adalah kesan daripada ekonomi yang berintensif buruh.

Bagaimanapun, struktur ekonomi negara yang secara asasnya adalah berintensif buruh tidak sewajarnya menghalang perkongsian kekayaan yang lebih adil antara majikan dengan pekerja.

Justeru, peranan pelaras dasar penting bagi mengimbangi diantara keuntungan syarikat dan gaji pekerja.


Golongan pekerja termasuk golongan muda, ramai yang melakukan dua kerja dalam satu masa untuk menampung hidup. Ia praktikal atau akhirnya menyebabkan diri sendiri terbabit dalam masalah lain seperti kesihatan?

Ini keadaan yang berlaku pada ketika ini bagi menampung keperluan perbelanjaan harian mereka.

Dengan keadaan kos sara hidup yang semakin menekan pada ketika ini akibat peningkatan harga barangan, bilangan mereka yang melakukan pekerjaan sampingan dijangka akan meningkat.

Faktor utama menyebabkan keadaan ini berlaku adalah tahap gaji yang rendah.

Usaha mentransformasi ekonomi ke arah bergaji tinggi akan memakan masa dan memerlukan iltizam daripada semua pihak terutamanya pemain industri dan kerajaan.

Melakukan kerja sampingan terutamanya aktiviti ekonomi gig adalah penyelesaian sementara yang tidak menyeluruh.

Usaha kerajaan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial pekerja gig seperti mana yang terkandung dalam pembentangan Bajet 2023 amat baik dalam membantu kebajikan mereka.

Bagaimanapun, aktiviti ekonomi gig ini bukanlah sesuatu yang mampan kepada anak muda.


Tawaran untuk kerja berpendapatan tinggi serta berkemahiran tinggi semakin berkurang di Malaysia?

Hampir dua pertiga pendapatan isi rumah diperoleh daripada pasaran buruh.

Daripada segi penjanaan pekerjaan pula, ekonomi negara mencipta kurang daripada satu perempat adalah untuk pekerja mahir.

Dalam tempoh 30 tahun lalu, ekonomi negara secara purata telah menjana lebih banyak pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah iaitu sebanyak 61 peratus berbanding 39 peratus untuk pekerja mahir.

Keadaan ini menyebabkan setiap seorang daripada tiga graduan akan terlibat dengan pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan (mismatch).

Transformasi dan perubahan struktur ekonomi diperlukan jika ingin melihat lebih banyak penciptaan peluang pekerjaan mahir di masa hadapan.


Jika golongan muda masih bekerja semata-mata untuk 'mencukupkan perbelanjaan sendiri', bagaimana wawasan negara dapat dicapai?

Dalam ekonomi, sumbangan golongan muda sangat penting bagi memastikan kemampanan sesebuah ekonomi.

Golongan muda perlu menjadi penggerak utama ekonomi negara terutamanya mereka yang berpendidikan tinggi.

Namun kadar pengangguran yang tinggi, kadar ketidakpadanan pekerjaan yang tinggi serta masalah hutang menjadi hambatan untuk negara memaksimakan potensi bakat golongan muda.

Pada pandangan saya, transformasi pendidikan setiap peringkat iaitu sekolah rendah, menengah dan tinggi perlu dilakukan bagi mengubah minda golongan muda dan mengintegrasikan mereka dengan industri dan pekerjaan.

Jangan terkejut jika kita dapati sebahagian graduan kita tiada objektif kerjaya yang jelas selepas bergraduat.


Pekerja dalam kalangan golongan muda ketika ini kerap dilihat 'terkejar-kejar' dalam melakukan tugasan, khasnya dalam ekonomi gig, sehingga terbabit kemalangan dan sebagainya?

Pada pandangan saya, situasi 'terkejar-kejar' berlaku kerana ingin mendapatkan bayaran yang tinggi.

Daripada satu sudut, ini adalah bentuk insentif yang disediakan oleh syarikat untuk memastikan penghantaran sampai tepat pada masanya.

Daripada sudut yang lain, situasi boleh menjadi satu bentuk eksploitasi oleh syarikat kerana mereka tidak menyediakan insuran dan perlindungan sewajarnya kepada mereka yang melakukan ekonomi gig.

Situasi ini jelas menunjukkan ketidakmampanan aktiviti ekonomi gig itu sendiri.

Golongan muda perlu menjadikan aktiviti ekonomi gig ini sebagai pekerjaan yang bersifat sementara kerana ia tidak menjanjikan masa hadapan yang cerah.


Bagaimana mahu menjadikan golongan pekerja muda ini sebagai teras utama pembangunan negara?

Perubahan struktur ekonomi dan transformasi pendidikan dapat meningkatkan sumbangan golongan pekerja muda kepada ekonomi negara.

Perubahan struktur ekonomi yang lebih mencipta peluang pekerjaan mahir dan gaji yang lebih tinggi diperlukan bagi meningkatkan penyertaan golongan muda ke dalam sektor ekonomi formal.

Transformasi pendidikan diperlukan bagi memastikan output yang dikeluarkan oleh pusat pengajian dan latihan lebih berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 6:30 AM