TAHAP produktiviti purata warga kerja di Malaysia adalah melebihi RM80 sejam namun ia masih rendah berbanding dengan negara jiran Singapura.
TAHAP produktiviti purata warga kerja di Malaysia adalah melebihi RM80 sejam namun ia masih rendah berbanding dengan negara jiran Singapura.
Muhammad Saufi Hassan

Isu gaji minimum sememangnya satu perkara besar bukan saja untuk pekerja, malah majikan.

Terdapat dua sisi berbeza yang perlu dilihat iaitu untuk segmen pekerja, mereka tentunya gembira dengan idea pelaksanaan gaji minimum kerana boleh meningkatkan taraf hidup.

Bagaimanapun, untuk sisi majikan pula, perkara berkenaan bukan saja membebankan, malah wujud persoalan adakah kemahiran pekerja sedia ada layak untuk menerima gaji minimum berkenaan.

Untuk memberi gambaran lebih jelas, ikuti wawancara pakar ekonomi PROF EMERITUS DR BARJOYAI BARDAI bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.


Sebelum ini RM1,500. Kini RM2,000 sebagai gaji minimum?

Sebenarnya kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 menjadi RM1,500 pun masih tertangguh beberapa kali dan hanya dilaksanakan pada 1 Julai.

Bagaimana kita hendak naikkan pula menjadi RM2,000 sebulan?

Bila kerajaan mula memperkenalkan dasar gaji minimum sebanyak RM900 sebulan, banyak syarikat kawalan keselamatan yang terpaksa tutup perniagaan kerana pada masa itu, mereka hanya membayar gaji sekitar RM500 hingga RM600 sebulan.

Mereka mengenakan kadar bayaran RM800 hingga RM900 sebulan kepada pelanggan mereka.

Jadi kenaikan gaji menjadi RM900 minimum memang tidak mampu mereka bayar, jadi lebih baik mereka tutup perniagaan.

Perlu diingat Malaysia mempunyai lebih daripada tujuh juta tenaga kerja asing termasuk kumpulan pendatang haram.

Mereka ini kebanyakannya mendapat gaji yang jauh lebih rendah daripada RM1,200 hari ini.

Jika kadar gaji minimum dinaikkan menjadi RM2,000, merekalah kumpulan penerima faedah yang paling besar dan majikan mereka akan menjadi kumpulan yang paling terkesan.

   


Majikan masih lagi berdepan isu untuk tunaikan ketetapan gaji minimum RM1,500. Adakah penetapan kadar baru RM2,000 ini boleh dinoktahkan?

Sebenarnya memang warga pekerja di Malaysia memerlukan gaji yang lebih tinggi daripada kos sara hidup minimum RM2,800 untuk seorang bujang dan RM6,600 untuk keluarga dengan dua orang anak (mengikut perkiraan Bank Negara Malaysia di tahun 2021).

Di Malaysia, majikan hanya berkongsi kira-kira 35 peratus daripada hasil pendapatan mereka dalam bentuk gaji dan faedah pekerjaan.

Di negara maju, angkanya sehingga 65 peratus. Namun, majikan tidak akan meningkatkan gaji begitu sahaja.

Peningkatan gaji perlu diiringi oleh peningkatan produktiviti. Tingkat produktiviti purata warga kerja di Malaysia adalah melebihi RM80 sejam namun ia masih rendah berbanding dengan negara jiran Singapura yang mana purata produktivitinya adalah melebihi RM600 sejam.

Jadi tanda noktahnya masih jauh untuk dicapai. Kita perlu menggesa warga pekerja untuk berusaha meningkatkan produktiviti melalui latihan semula dan pengenalan teknologi.

Barulah warga kerja akan layak menerima imbuhan gaji yang lebih tinggi.

Kita boleh mempunyai matlamat gaji minimum RM5,000 di dalam tempoh 10 tahun jika kita melakukan strategi peningkatan produktiviti ini secara strategik.


   

Pro dan kontra gaji minimum RM2,000 buat majikan serta pekerja?

Sebenarnya gaji minimum RM2,000 adalah terlalu rendah. Tahap kemiskinan ialah pada RM2,208.

Selagi tahap gaji kita di bawah tahap kemiskinan, selagi itu kita masih dilabel sebagai negara miskin dan mundur.

Namun untuk mencapai tahap RM2,000 itu pun majikan di Malaysia menjadi sesak nafas dibuatnya dan mungkin lebih rela menutup perniagaan sahaja.

Bila pendapatan semakin meningkat, permintaan pun akan meningkat dan ini akan mewujudkan tekanan inflasi seperti yang berlaku di negara jiran kita Singapura.

Untunglah mereka boleh datang membeli-belah di Malaysia yang jauh lebih murah.

Selepas ini, bila gaji meningkat, kita perlu mencari negara jiran yang kos sara hidupnya murah untuk berbelanja atau mungkin menetap.


   Jika gaji minimum RM2,000 dipersetujui, bagaimana pula dengan kriteria pemilihan pekerja? Pasti majikan mahukan pekerja yang benar-benar layak untuk 'menggenggam' gaji permulaan itu?

Ramai penganalisis pasaran dan menteri ekonomi sendiri merumuskan bahawa berlaku pengangguran belia yang melebihi 10 peratus di Malaysia disebabkan ketidaksejajaran antara kemahiran yang diajar dengan kemahiran yang diperlukan oleh majikan.

Sebenarnya universiti tidak boleh menuntut bahawa mereka mengajar kemahiran yang jitu mengikut keperluan industri dan pasaran.

Selain daripada kurus profesional seperti perakaunan, kejuruteraan, arkitek, kedoktoran dan kursus teknikal dan ICT, hampir semua universiti mengajar ilmu umum di dalam bidang ekonomi, pengurusan, sains dan teknologi.

Graduan yang dihasilkan akan memerlukan program latihan didalam pekerjaan untuk menjadikan mereka mahir di dalam bidang yang diceburi.

Cuma paling penting universiti perlu menyediakan graduan untuk memasuki alam pekerjaan dengan memberi pendedahan penuh tentang kecerdasan diri bagi membolehkan setiap orang membangun kecerdasan diri di dalam aspek IQ – Intelligence Quotient, Emotional Intelligence (EQ), Creative Intelligence (CQ), Spiritual intelligence (SQ) and Entreprenereurship Intelligence (PQ).

Pemilihan bakal pekerja perlulah berasaskan potensi setiap orang untuk dibangunkan menjadi kumpulan yang mahir di dalam bidangnya secepat mungkin.

Jika seorang bakal pekerja mempunyai latar belakang yang mantap di dalam lima bidang kecerdasan di atas, mereka akan dengan mudah dan cepat meningkat dan menjadi mahir didalam bidang dan jawatan mereka.


   

Melalui gaji minimum RM2,000, ada suara mengatakan 'orang malas paling untung' kerana tanpa berusaha keras sekalipun, mereka menerima gaji 'besar'. Sedangkan mereka yang berusaha bersungguh-
sungguh seperti menimba ilmu tinggi pun ada yang masih 'terkial-kial' mencari pendapatan terbaik. Bagaimana Prof melihat perkara ini?

Malas atau rajin bukan ditentukan oleh gaji minimum. Ia ditentukan oleh sikap, tingkah laku dan budaya hidup.

Dengan disiplin lima kecerdasan di atas tadi warga kerja akan mempunyai sikap dan budaya hidup yang positif. Ini akan menolak mereka untuk maju ke hadapan.

Majikan pastinya akan hanya membayar gaji RM2,000 sebulan jika ia dapat menolak dan melonjakkan produktiviti setiap pekerja sehingga mencapai satu tahap yang bersesuaian dengan tangga gaji RM2,000 sebulan.

Jadi jika pekerja tidak berminat atau tidak mampu untuk menjana tahap produktiviti yang diharapkan mereka terpaksa mencari sumber pendapatan lain daripada bekerja.

Setiap warga kerja perlu berusaha untuk bekerja secara smart dan cuba sedaya upaya menjana tahap produktiviti yang lebih tinggi dari keperluan kadar bayaran gaji RM2,000 sebulan.


   

Bagaimana pula dengan kerajaan, apa yang boleh kerajaan lakukan untuk bantu majikan serta pekerja dalam isu ini?

Kerajaan juga mempunyai masalah dengan kadar gaji minimum ini.

Hari ini, walaupun kadar gaji minimum sudah menjadi RM1,500 sebulan, ada lagi kakitangan kerajaan yang masih mendapat gaji yang kurang daripada RM1,500 sebulan kerana skim gaji mereka adalah sedemikian.

Jika gaji dinaikkan kepada RM2,000, kos pentadbiran kerajaan akan meningkat kerana kerajaan mempunyai lebih 1.7 juta pekerja di banyak bidang yang berbeza.

Kerajaan di masa yang sama perlu memantau memastikan sektor swasta mematuhi kadar gaji minima ini.

Ini adalah satu cabaran khususnya bagi perniagaan kecil dan informal yang mempunyai pekerja yang kecil dan informal.

Hari ini misalnya, kebanyakan mereka yang terbabit dalam bidang pelancongan, hospitaliti termasuk pelayan restoran, hotel dan pembantu jualan di warung pelancongan hanya menerima gaji purata RM1,200 sebulan.

Mereka sangat sengsara untuk cuba meningkatkan gaji ke paras RM1,500 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 7:01 AM