SEBAHAGIAN pemandu e-hailing yang hadir pada Forum Nasional: Kerangka Kerjaya Industry GIG di WTC, di ibu kota. Gambar NSTP/ASWADI ALIAS
SEBAHAGIAN pemandu e-hailing yang hadir pada Forum Nasional: Kerangka Kerjaya Industry GIG di WTC, di ibu kota. Gambar NSTP/ASWADI ALIAS
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Program Bina Kerjaya yang diperkenalkan kerajaan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mampu meningkatkan produktiviti dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Felo Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, Dr Zulkiply Omar berkata, program berkenaan boleh menjadi serampang dua mata kerana bukan saja memperkasa pekerja, bahkan ekonomi secara keseluruhannya.

Katanya, inisiatif kerajaan memperkenalkan program yang memperkasakan pasaran buruh ini adalah langkah tepat kerana ia diperlukan terutama membantu rakyat menambah kemahiran mereka.

"Menerusi Program Bina Kerjaya ini, pekerja informal khususnya boleh meningkatkan kemahiran mereka untuk kekal relevan dalam pasaran buruh.

"Kita tahu pendapatan dalam sektor informal dan ekonomi gig ini tidak menentu dan mereka ini sebenarnya memang mempunyai kemahiran tersendiri.

"Jadi dengan program sebegini yang mana peserta diberi latihan profesional dan diiktiraf, maka pasti mereka lebih bersedia berdepan cabaran mendatang," katanya.

Zulkiply berkata, program proaktif ini perlu diteruskan dan tidak seharusnya melalui kerajaan saja, tetapi juga sektor swasta dan korporat kerana ia mampu memberi kesan positif bagi jangka panjang.

Beliau berkata, program yang memfokus upskilling dan reskilling (peningkatan kemahiran dan kemahiran semula) dapat membantu pekerja kekal relevan dalam industri serta lebih bersedia menghadapi cabaran pekerjaan.

"Ini dinamakan bantuan sosial dan ia berbeza dengan memberi bantuan kewangan kerana memberi 'pancing' lebih baik daripada memberi 'ikan' dan pekerja berkemahiran mudah untuk survive (kelangsungan hidup).

"Bagaimanapun, program sebegini perlu dikembangkan dan tidak tertumpu pada ekonomi gig kerana sektor informal seperti golongan suri rumah juga bekerja membantu keluarga.

"Golongan ini perlu diberi latihan meningkatkan kemahiran mereka. Selain itu, program bagi golongan profesional harus ada kerana ramai terbabit dalam ekonomi gig dan bekerja sendiri dan kemahiran mereka perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, bagi pekerja ekonomi gig, Muhammad Syahril Sahuk, 23, dia berminat menyertai program ini untuk membina kerjaya dan mencari peluang pekerjaan bersesuaian.

Menurutnya, inisiatif kerajaan ini perlu diteruskan dan diperluaskan supaya dapat membantu generasi muda dan individu yang memerlukan terutama lepasan graduan.

"Program ini tidak hanya memberi latihan kepada peserta, tetapi termasuk elaun juga. Ini peluang kepada setiap masyarakat untuk mengubah nasib diri," katanya.

Turut menyokong inisiatif kerajaan, Muhammad Syaikhu Firdaus Kanan, 23, berkata, Program Bina Kerjaya ini mampu menarik minat golongan muda.

"Secara tak langsung ini memberi banyak peluang khususnya golongan muda untuk membina kerjaya serta meningkatkan potensi mereka yang bekerja di sektor informal serta menjana pendapatan lebih baik.

"Selain itu, saya harap kerajaan dapat memberi insentif kepada akses teknologi dan perkembangan digital kerana ia penting bagi segelintir yang kurang diberi pendedahan perkembangan digital terkini," katanya.

Bagi Norsuilawati Hamdi, 24, dia mengalu-alukan usaha kerajaan membantu golongan pekerja informal sepertinya dengan memberi bimbingan latihan dan elaun.

"Usaha kerajaan melalui Program Bina Kerjaya dapat membantu peniaga kecil atau anak muda mengembangkan lagi usaha mereka ke arah lebih profesional.

"Program ini perlu diteruskan sebab ramai peniaga, petani dan sebagainya tidak berpeluang mengembangkan perniagaan atau kerjaya mereka. Dengan bimbingan profesional, lebih mudah mereka berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 6:16 PM