Seminar Asean 2017 Mengenai Perlindungan Kandungan Dalam Talian Kepada Kanak-Kanak di Putrajaya disertai lebih 200 peserta. (Gambar kecil) Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Seminar Asean 2017 Mengenai Perlindungan Kandungan Dalam Talian Kepada Kanak-Kanak di Putrajaya disertai lebih 200 peserta. (Gambar kecil) Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Mohd Husni Mohd Noor


SEBANYAK 155 laman web yang memaparkan kandungan penderaan seksual kanak-kanak disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata, tindakan sekatan itu dilakukan mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 selepas didapati mengandungi kandungan berunsur lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik dan mengganggu orang lain terutama kanak-kanak.

Beliau berkata, kebiasaannya, sekatan laman web dilakukan selepas aduan diterima pengadu sebelum SKMM berhubung dengan penyedia laman web di luar negara seperti Google dan Yahoo untuk proses seterusnya.

“SKMM akan bertindak sebagai penasihat teknikal dan mereka berperanan untuk menyekat laman web berkenaan sekiranya ia mengandungi kandungan yang tidak sepatutnya dilihat oleh seorang kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pembukaan Seminar Asean 2017 Mengenai Perlindungan Kandungan Dalam Talian Kepada Kanak-Kanak di Putrajaya, hari ini.

Katanya, sekiranya aduan membabitkan jenayah seksual pula, SKMM dan kementerian akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan penguatkuasaan dan undang-undang.

Bagaimanapun, Jailani berkata, tidak semua tindakan diambil menerusi sekatan dan penguatkuasaan, sebaliknya SKMM turut memperluas kempen dan program kesedaran bagi mendidik kanak-kanak dan ibu bapa mengenai cara yang betul melayani Internet.

Ditanya sama ada kerajaan patut memperkenalkan pendidikan seksual di peringkat sekolah bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak, Jailani berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan namun, pada hakikatnya peranan mendidik kanak-kanak bukan terletak pada kerajaan saja sebaliknya ibu bapa turut memainkan peranan utama.

“Ibu bapa tidak boleh meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada anak-anak mereka sebaliknya perlu memainkan peranan terutama memantau kandungan dan laman web yang dilayari anak masing-masing.

“Memberi pendedahan mengenai Internet kepada kanak-kanak adalah bagus namun ia perlu dikawal,” katanya.

Mengulas mengenai seminar berkenaan, Jailani berkata, ia julung kali dianjurkan dan disertai lebih 200 peserta terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan pemain-pemain industri telekomunikasi.

Pada ucapannya, Jailani berkata, SKMM sudah melaksanakan pelbagai kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat termasuk Klik Dengan Bijak.

“Sepanjang 2015 hingga 2016, 800 aktiviti diperkenalkan menerusi kempen berkenaan yang memberi manfaat kepada 1.7 juta pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 3:28 PM