RAMENGVRL bangga tonjol keunikan sendiri.
RAMENGVRL bangga tonjol keunikan sendiri.
Georgie Joseph


RANGGI dan sangat lantang, karakter penyanyi rap ini mudah menangkap perhatian. Ramengvrl tampak cukup berani dan sangat yakin dengan dirinya terutama penampilan.

Ramengvrl atau nama sebenarnya Putri Estiani, 30, memang terlihat unik dan tersendiri. Dia meletakkan sendiri jenama pada dirinya tanpa meniru orang lain.

Bagaimanapun, bukan semua boleh menerima keunikannya serta corak tulisan lirik lagunya. Apatah lagi dia sendiri berasal dari Indonesia dan memang sukar menepis tanggapan sinis itu.

"Seperti kita tahu, negara di Asia Tenggara terutama Indonesia, segelintir rakyatnya masih lagi berfikiran konservatif. Selalunya mereka mesti ada gambaran tersendiri bagaimana wanita, lagi-lagi artis harus tampil.

"Saya pun memang dapat komen-komen tertentu mengenainya. Bahkan sampai sekarang, masih ada komen lagu-lagu saya terlalu kesat dan gaya saya sangat mengarut," katanya.

Enggan memberikan ruang kepada orang lain mendefinisikan dirinya, Ramengvrl bersyukur ramai juga sebenarnya suka keunikan ditampilkan.

Hakikatnya, dia dilihat mencetus revolusi tersendiri dalam perihal memperjuangkan perbezaan corak pembawaan diri wanita. Justeru, ia menguatkan lagi keyakinannya untuk terus menjadi diri sendiri.

"Saya tak peduli pun. Awalnya saya terfikir juga ada betulnya komen mereka tetapi tak adil kerana mereka tak kecam penyanyi rap lelaki pula bila buat lagu kesat.

"Sebaliknya, saya gembira apabila mendapat komen awal-awal dulu yang menyifatkan saya mewakili wanita-wanita tertentu terutama golongan yang dilihat tidak menepati piawaian masyarakat," katanya.

Ramengvrl mengakui dia sekarang berada di tahap melakukan pekerjaan ini bukan demi untuk diri sendiri semata-mata. Dia mahu ekspresikan semua dilakukannya demi orang lain juga.

Demikian juga matlamat ingin dicapai dalam lagu baharunya berjudul Ming Ling. Sebagai wanita dan berasal dari Asia, dia sentiasa berusaha memartabatkan darjat ke tahap disegani.

Katanya, dia takkan biar martabat masyarakat Asia terutama wanita diperlekeh. Demikian juga stereotaip yang dilabelkan terhadap penyanyi rap Asia kurang menyerlah dalam industri muzik dunia.

"Ming Ling sebenarnya sebuah lagu suka-suka. Tapi pada masa sama, saya mahu sampaikan bahawa Walaupun saya wanita Asia, saya tidak rapuh. Jangan panggil saya 'Ming Ling'.

"Jangan fikir stereotaip mengenai wanita Asia. Saya juga mahu suntikan rujukan mengenai wanita Asia kerana ia pasti menyeronokkan dan penampilan Yung Raja juga sebagai petanda bahawa industri hip-hop Asia semakin bangkit.

"Sebahagian daripada gelanggang hip -hop Asia tidak cukup diwakili. Jadi, inilah masa untuk berbuat demikian," katanya.

KERJASAMA dengan Yung Raja terjalin semula jadi.
KERJASAMA dengan Yung Raja terjalin semula jadi.

Berkongsi kerjasamanya dengan Yung Raja, Ramengvrl sangat senang apabila mengenali penyanyi Singapura itu secara dekat.

Menurutnya, aura mereka ada persamaan dan senang serasi.

"Pertama kali kami berjumpa adalah pada 2019 di sebuah acara di Singapura. Kami cuma borak kosong dan saling mengikuti perkembangan sesama sendiri.

"Kami juga mengagumi corak hidup masing-masing dan terdetik sudah tiba masa untuk bekerjasama dalam lagu. Sekarang kami rasa masa paling tepat untuk merealisasikannya," katanya.

Ramengvrl juga menyifatkan proses menyiapkan lagu itu berlaku sangat semula jadi. Mereka tidak mengambil masa lama untuk mencipta keserasian dan serta-merta boleh faham sesama masing-masing.

"Hakikatnya, saya memang sudah ada demo dan terfikir Yung Raja patut masuk dalam lagu itu juga. Sebelum saya hantar demo itu kepadanya, saya kuat rasakan dia sendiri memang hendak bekerjasama," katanya.

Dalam pada begitu lantang dan kalis kecaman, Ramengvrl sentiasa percaya kerendahan hati perlu tetap jadi pedoman hidup. Meski jauh mengembara, dia sentiasa ingat diri.

Apapun, usaha kerasnya memang tidak akan berhenti kerana dia sejenis yang tidak mudah duduk selesa.

Katanya, dia bersyukur perjuangan bertahun-tahun dalam muzik akhirnya menuaikan hasil luar biasa.

"Saya memang jenis bukan mudah puas hati dan terus fikir apa lagi nak capai kalau sudah raih satu pencapaian. Bahkan, dapat menyanyi di mana-mana tempat di dunia pun di luar jangkaan.

"Lebih tujuh tahun lalu, saya cuma mencuba munculkan diri di luar sana menerusi lirik dan muzik. Tapi meskipun sentiasa dahagakan sesuatu, saya tetap ingatkan diri untuk jangan riak.

"Dapat diterima pendengar dari Amerika dan Jepun misalnya mengajar saya lebih bersyukur. Namun, pada masa sama teguh cari peluang dan tidak berhenti untuk menakluk dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 6:00 AM